Isn06262017

Last updateAhd, 25 Jun 2017 6pm

Back Utama Kenyataan/Berita Perutusan Presiden PAS Sempena Nuzul Al-Quran

Perutusan Presiden PAS Sempena Nuzul Al-Quran

Alhamdulillah, marilah kita perbanyakkan bersyukur kepada Allah kerana masih menghidupkan kita saat ini untuk menikmati nikmat menjadi tetamu Allah di bulan Ramadhan dan hari ini kita menyambut Hari Nuzul Al-Quran pada tanggal 17 Ramadhan.

Al-Quran adalah Kalamullah yang wajib didengar dan dipatuhi. Bukan sekadar untuk dibaca di Majlis Tilawah Al-Quran atau digantung dipremis perniagaan sebagai pelaris, bahkan Al-Quran diturunkan untuk dibaca, dihayati, diamalkan dan diperjuangkan isi kandungannya dalam kehidupan manusia, sama ada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Inilah hak Al-Quran yang wajib ditunaikan oleh umat Islam bersesuaian dengan firman Allah S.W.T:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” [Al-Baqarah: 185]

Semestinya menjadi tanggungjawab umat Islam sekarang untuk mengisi kemerdekaan negara dengan meletakkan Al-Quran ditempat paling tertinggi dalam perlembagaan dan melepaskannya daripada belenggu penjajah kepada kefahaman Islam yang kita imani.

Maka, PAS melalui usaha-usahanya memperjuangkan Al-Quran untuk diletakkan ditempatnya yang tinggi dengan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu. Kini, PAS sedang memperjuangkan Pindaan Akta 355 untuk diangkat martabatnya setelah hampir separuh abad umat Islam diperbodohkan, apabila kuasa Mahkamah Syariah bagi penganut Islam lebih rendah daripada Mahkamah Sivil yang paling rendah. Jelasnya, bahawa perjuangan PAS melalui pindaan akta ini lebih bersifat menyempurnakan prasarana Sistem Kehakiman Islam yang menunjukkan bahawa Undang-undang Allah SWT lebih menjamin keadilan daripada undang-undang ciptaan manusia.

Akhirnya, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Nuzul Al-Quran pada tahun ini di Bulan Ramadhan yang mulia. Saya juga mengajak seluruh umat Islam untuk bermuhasabah sejauhmana al-Quran diletakkan di dalam hati kita dan dijunjung setinggi-tingginya sebagai panduan bernegara dalam aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 17 Ramadhan 1438H / 12 Jun 2017M