Isn06262017

Last updateAhd, 25 Jun 2017 6pm

Back Utama Kenyataan/Berita Al-Quran Merakam Senario Masyarakat

Al-Quran Merakam Senario Masyarakat

Firman Allah:    

“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka kitab dengan benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Surah Al-Baqarah: 213)

Ibnu Abbas R.A, seorang sahabat daripada kalangan keluarga Rasulullah S.A.W. yang mendapat berkat doanya supaya dikurniakan ilmu Al-Quran menafsirkan ayat ini:

Bahawa manusia itu pada awalnya ketika bersama Nabi Adam A.S. menganut agama Islam yang sempurna dari segi aqidah, syariat dan akhlak yang merangkumi seluruh cara hidup bermasyarakat. Setelah berlalu sepuluh abad selepas wafatnya Adam A.S. bermulanya penyelewengan meninggalkan Islam, melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, serta mengadakan undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah kerana diluar kemampuan akal dan jasadnya, maka berlakulah keruntuhan akhlak dalam segala aspek kehidupan mereka.

Maka Allah mengutuskan Rasul-Nya, Nabi Nuh A.S. menjadi Rasul pertama yang berjuang menentang segala penyelewengan menghadapi pemimpin dan rakyat yang terpengaruh dengannya. Seterusnya Allah membinasakan mereka silih berganti dan diutuskan Rasul-rasul serta diwahyukan kitab-kitab yang silih berganti, berakhir dengan Rasul Akhir zaman, Nabi Muhammad S.A.W. dan kitab suci Al-Quran.

Diperingkat ketiga, Allah melahirkan bangsa Yahudi dan para Rasul, mereka diberikan kitab Taurat dan lain-lain yang dapat dibaca dengan sempurna. Walaupun sudah ada kitab dan para Rasul yang dilantik seperti Nabi Musa dan Nabi Harun A.S. selepasnya Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S. bersama kitab yang disediakan, namun Bani Israel yang berkonsepkan materialistik sering meninggalkan Kitab Allah, walaupun para Rasul mereka dikurniakan mukjizat paling luar biasa, bermula dengan Nabi Musa A.S. yang berjaya mengalahkan Firaun dengan mukjizat ditenggelamkan bersama bala tenteranya yang besar, disaksikan dengan mata dan dibaca oleh generasi kemudiannya sehingga hari ini. Namun sejarah Bani Israel terus menentang para Rasul dan pengikutnya yang setia sehingga ada yang dibunuhnya. Firman Allah:

“Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan Al-Kitab (Taurat) kepada Musa, dan Kami telah menyusulinya (berturut-turut) sesudah itu dengan rasul-rasul, dan telah Kami berikan bukti-bukti kebenaran (mukjizat) kepada Isa putra Maryam dan Kami memperkuatnya dengan Ruhulkudus. Apakah setiap datang kepada kamu seorang rasul membawa sesuatu (pelajaran) yang tidak sesuai dengan keinginanmu lalu kamu angkuh; maka beberapa orang (di antara mereka) kamu dustakan dan beberapa orang (yang lain) kamu bunuh?).” (Surah al-Baqarah: 87)

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya).” (Surah Ali-Imran: 21)

Tegasnya Allah menurunkan kitab yang dapat dibaca dengan lengkap bersama para Rasul dan para ulama yang menjadi pemimpin, namun konsep kebendaan yang menghantui mereka menjadikan mereka menolak kitab dan hanya menerima apa yang difikirkan mengikut akal mereka. Sehingga kini, para ilmuan Yahudi seperti Adam Smith, Karl Mark dan lain-lain adalah pencipta berbagai ideologi dan teori yang menjadi sebab kepada semua masalah terkini diseluruh pelosok dunia.

Adapun Nabi Akhir Zaman Muhammad S.A.W. dilahirkan di Makkah daripada zuriat Ibrahim A.S. supaya meletakkan anaknya Ismail A.S. di Makkah, bumi yang tiada asas kemudahan hidup seperti air dan makanan, bahkan juga untuk binatang. Dibumi terpencil ini dilahirkan Rasul Akhir zaman Muhammad S.A.W., diwahyukan kitab suci Al Quran secara berperingkat dan berdikit tidak semuanya seperti Kitab Taurat dan Injil. Sehingga ditegakkan negara di Madinah, kitab Al-Quran diwahyukan dalam perjalanannya selama 23 tahun dalam dua peringkat, Marhalah Makiyyah dan Madaniyah dengan permulaan pembangunan insan, jasad, roh dan akal mengikut fitrah dan segala usahanya memperhambakan diri kepada Allah, bukannya meminta-minta daripada Allah seperti Bani Israel yang berkonsep materialistik.

Akhirnya Islam berjaya meluaskan pengaruhnya selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. sehingga melangkaui ke seluruh benua, menegakkan negara besar dan membangunkan negara setelah dijatuhkan, di mana rahsianya terdapat tiga konsep terpenting rahsia kejayaan generasi awal:

Aqidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat yang menjadi teras rukun iman.

Konsep taqwa yang membawa hak asasi dan keadilan untuk semua manusia dalam masyarakat majmuk.

Konsep Islam membawa Rahmat kepada seluruh alam.

Pendokong Harakah Islamiyyah jangan menghabiskan masa melayan kalangan yang bertanya di mana persediaan kumpulan Islam untuk memimpin. Jawabnya, kita bersedia menyelamatkan manusia bersama Islam dengan keutamaan membina kumpulan insan yang berhidayah daripada Al-Din. Bani Israel pernah disediakan kitabnya tetapi gagal manusiawinya.   

Jadikan Ramadan peluang membina jati diri menyuburkan iman dan taqwa dengan menghayati ibadat puasa dan bertadarus Al-Quran, di mana penyusunannya dimulakan dengan surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan surah Al-Nas. Dipohon hidayah ke jalan yang betul dan dilindungi daripada godaan syaitan yang dilihat dan yang tidak dapat dilihat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS    

Bertarikh: 20 Ramadhan 1438H / 15 Jun 2017M