Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Back Utama Kenyataan/Berita PAS Mengecam Regim Haram Israel Menutup Masjid Al-Aqsa

PAS Mengecam Regim Haram Israel Menutup Masjid Al-Aqsa

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam sekerasnya tindakan regim haram Israel yang menutup Masjid Al-Aqsa dan menahan Mufti Baitul Maqdis yang merupakan satu tindakan jenayah biadap Israel kepada umat Islam. Alasan sama juga telah digunakan oleh regim haram Israel untuk membenarkan tindakannya seperti yang berlaku pada 12 Disember 1968 apabila tercetusnya tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa.

Saya menyeru kepada pemimpin dunia Islam dan umat Islam seluruhnya untuk sedar dan bersatu apa juga usaha bagi melawan regim berkenaan dan sekutunya. Masjid Al-Aqsa dan keselamatan Baitul Maqdis adalah tiang kesatuan umat dan mesti menjadi salah satu matlamat utama umat Islam dalam mengharungi percaturan politik dunia untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman regim haram Israel dan Zionis.

Saat genting ini sedang berlaku terhadap Masjid Al-Aqsa di tengah kekalutan dunia Arab. Sepatutnya OIC, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Ketua-ketua Negara umat Islam bukan sekadar mengecam tindakan Israel dan Zionis itu bahkan mengambil tindakan drastik yang munasabah bagi mengembalikan Masjid Al-Aqsa dan tanah hak milik umat Islam.

Sempena Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) ini juga, yang akan diadakan pada 20-22 Julai 2017 di Kelantan, kita akan membincangkan usul tergempar bagi mengecam tindakan regim haram Israel ini dan memperkukuhkan kesatuan umat Islam bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan keamanan dunia.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 22 Syawal 1438H / 16 Julai 2017