Ahd05282017

Last updateAhd, 28 Mei 2017 1am

Back Utama Kenyataan Ketua DMPM 2015-2017 Dewan Muslimat Kesal Wacana Ilmu Zakir Naik Dihalang

Dewan Muslimat Kesal Wacana Ilmu Zakir Naik Dihalang

Isu halangan ke atas penganjuran majlis ilmu bersama Dr. Zakir Naik kecoh selepas pihak yang tidak berpuas hati mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan Malaysia.

Peguam Siti Kasim dan satu Pertubuhan Hindu baru-baru ini mengeluarkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana dikatakan melindungi pendakwah Dr. Zakir Naik.

Kami daripada Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kesal terhadap apa yang berlaku. Hal ini tidak sepatutnya timbul memandangkan kita mengamalkan budaya hormat-menghormati dan bersikap toleransi atas setiap perkara.

Mana mungkin majlis ilmu dihalang oleh orang Islam sendiri sedangkan masih banyak program lain yang lebih berunsur negatif dan tidak sepatutnya diadakan di Malaysia selaku negara Islam yang perlu dihalang.

Solusi terbaik untuk mengatasi hal ini bukanlah melalui emosi yang membuta tuli. Pendekatan berhemah dengan bersemuka adalah lebih baik dan harmoni.

Islam mengajar hambaNya menggunakan pendekatan terbaik dalam menyelesaikan masalah.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk" [An-Nahl 16:125]

Setakat ini, kita tidak mendengar sebarang kekecohan semasa program-program bersama Dr Zakir. Bahkan program-program bersama beliau sentiasa mendapat sambutan yang meriah dan memuaskan hati peserta. Oleh itu, sesiapa pun tidak perlu merasa tidak senang selagi program bersama Dr Zakir dapat dilaksanakan dengan baik.

Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua dan terus berpihak kepada kebenaran. Sesungguhnya balasan Allah itu cukup pedih khususnya di akhirat bagi mereka yang menghalang usaha-usaha dakwah di jalan Allah. Marilah kita bersama-sama hidup dalam keadaan hormat- menghormati antara satu sama lain.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Jamadil Akhir 1438
7 Mac 2017