Rab07262017

Last updateRab, 26 Jul 2017 4pm

TAHNIAH DI ATAS PEMILIHAN AJK PAS PUSAT

TAHNIAH DI ATAS PEMILIHAN AJK PAS PUSAT

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah", Surah al-Qashas, ayat: 26.Alhamdulillah tahniah kepada Dr Najihatussalehah Ahmad, Dr Rosni Adam dan Dr Halimah Ali di atas pemilihan dalam AJK PAS PUSAT.

Tangan yang menghayunkan buaian itu boleh menggoncangkan dunia! Penghargaan kepada semua para perwakilan di atas kepercayaan buat kaum wanita di dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk menggalas amanah serta meneruskan keberlangsungan dakwah, tarbiyyah dan siasah.

'Tangan kanannya menghayun buaian,tangan kiri menggoncang dunia’, begitu bermakna peranan muslimat dalam medan dakwah kerna muslimat itu merupakan sayap kiri dalam perjuangan. Setiap muslimat adalah pendokong harakah Islam perlu mempunyai peranan yang tersendiri di dalam membina kekuatan ummah dan mendorong perjuangan Jemaah untuk memacu kemenangan.

Semboyan PRU 14 bakal berbunyi tidak lama lagi. Semoga kepercayaan kepada muslimat sebagai calon Pilihan Raya juga diberikan agar kaum wanita turut berada dalam kepimpinan untuk mentadbir dan meneruskan agenda yang tertangguh serta menguruskan perihal kewanitaan yang memerlukan tangan-tangan kaum hawa.

Dalam hadis daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku? Baginda menepuk bahuku dan bersabda: Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Riwayat Muslim).

Sekali lagi tahniah kepada ketiga-tiga Dr yang terpilih! Teruskan menggalas tanggungjawab dengan penuh komited dan membawa qudwah hasanah kepada masyarakat. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan memberikan hidayah kepada seluruh umat Islam.


USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
05 Syaaban 1438H
02 Mei 2017