Sel07252017

Last updateIsn, 24 Jul 2017 11pm

Selamat Hari Jururawat

                 

Saban tahun, detik 12 Mei pasti diingati bagi meraikan jururawat di seluruh dunia. Sambutan ini semestinya diadakan sebagai tanda penghargaan masyarakat terhadap jasa dan pengorbanan mereka semua.

Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ingin mengucapkan Selamat Hari Jururawat Sedunia buat seluruh jururawat di Malaysia. Terima kasih kami ucapkan atas segala kerja keras kalian demi memastikan setiap pesakit mendapat perkhidmatan terbaik.

Sesungguhnya, tugas seorang jururawat begitu mulia. Mereka bukan sahaja merawat dan memantau perkembangan pesakit, tetapi adakalanya, mereka juga menyuapkan makan, menukar lampin, dan memandikan pesakit. Terkadang, mereka juga menjadi tempat luahan dan rintihan pesakit.

Bukan mudah untuk melalui situasi kerja sebegini. Hanya insan yang hebat mampu bertahan dan terus tenang menjalankan amanah ini. Kami doakan agar kalian diberikan kesabaran dan kekuatan dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Maka ayuhlah rakyat Malaysia, sama-sama kita raikan kehebatan susuk tubuh insan bergelar jururawat. Hormatilah dan kasihilah mereka. Usah dipandang rendah terhadap kerjaya mereka.

DMPM juga menyeru pihak kerajaan supaya menilai semula tahap pengiktirafan yang diberikan terhadap kerjaya jururawat. Adakah ukuran yang diletakkan hari ini setimpal dengan timbunan tugasan yang perlu dilaksanakan mereka? Semoga bidang kesihatan Malaysia terus melakar kejayaan di masa hadapan. Siiru 'ala barakatillah.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Muslimat Memacu Kemenangan"

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 Mei 2017
16 Syaaban 1438H