Sel07252017

Last updateIsn, 24 Jul 2017 11pm

Guru, Jasamu Kami Hargai

Detik 16 Mei merupakan tarikh penting bagi menghargai jasa seorang pendidik melalui sambutan Hari Guru. Sambutan khas sebagai pengiktirafan terhadap perjuangan seorang guru ini merupakan sambutan yang seharusnya diingati bersama.

Sesungguhnya tugasan menyampaikan ilmu sangat mulia di sisi Islam sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"
[Surah Fussilat : 33]

Segala pengorbanan dan keikhlasan kalian sangat kami hargai dan tiadalah ucapan terbaik melainkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kami sampaikan. Semoga segala amalan dan jerit perih melalui perjuangan seorang guru mendapat balasan di akhirat kelak.

Ketahuilah, keikhlasan dan sumbangan kalian yang tidak jemu dalam mendidik dan mengajar ilmu akhirat dan dunia inilah yang sebenarnya melahirkan jiwa-jiwa yang takutkan Allah dan cintakan Rasulullah S.A.W sejak dari kecil lagi.

Sesungguhnya Allah menjanjikan nilaian ganjaran yang cukup besar kepada mereka yang tidak jemu menyampaikan ilmu. Hayatilah kisah junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W yang tidak pernah berputus asa menyampaikan ilmu melalui dakwah Baginda.

Nabi Muhammad S.A.W sudah berjaya pada hari Baginda membentuk insan bertunjangkan pemikiran Islam. Ramai kalangan musuh yang awalnya menentang perjuangan Baginda, namun pada akhirnya cinta terhadap Islam. Semua ini adalah hasil usaha menyampaikan ilmu tentang keindahan Islam secara berterusan.

Justeru, kami DMPM mendoakan para guru diberikan kesabaran dan dipermudahkan segala urusan demi melahirkan modal insan yang berjaya dunia dan akhirat. Teruskanlah perjuangan dan usaha kalian, yakinlah, Allah taala sahajalah sebaik-baik pemberi balasan.

Akhir kata, DMPM juga berharap sistem pendidikan negara dibaikpulih supaya ia tidak membebankan pelajar dan pendidik. Besar harapan kami untuk melihat keberhasilan pendidikan negara melalui pembudayaan ilmu yang sebenar, bukan sekadar berorientasikan kejayaan peperiksaan semata-mata.

"Guru Pembina Negara Bangsa"

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Syaaban 1438 H
16 Mei 2017