Rab05242017

Last updateRab, 24 Mei 2017 12pm

Back Utama Kenyataan Ketua DPPM Perutusan Khas Sempena Hari Guru 2017 Dewan Pemuda PAS Malaysia: Guru Istiqamah Menuju Kemenangan

Perutusan Khas Sempena Hari Guru 2017 Dewan Pemuda PAS Malaysia: Guru Istiqamah Menuju Kemenangan

PERUTUSAN KHAS SEMPENA HARI GURU 2017
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

15 Mei 2017 | 18 Sya’ban 1438

GURU ISTIQAMAH MENUJU KEMENANGAN


GURU memikul peranan sangat besar selepas ibu bapa dalam mencorak pembentukan dan penyempurnaan akhlak hingga lahirnya insan yang memenuhi tuntutan dunia serta akhirat. ‘Uswatun hasanah’ yang terbit dari diri guru dalam mencerna garapan, serapan dan rangsangan ilmu ke atas setiap anak didikan, adalah ‘punca kuasa’ kepada tercapainya agenda negara.

Berbanding ketinggian kedudukan diberikan kepada para pemimpin yang berperanan menjaga dan mengawal ummah, bagi para guru pula, keikhlasan jasa bakti dan istiqamah mereka dalam mendidik tidak mungkin terbalas dengan sebarang penghargaan dan penghormatan. Kerana itulah, dalam budaya Islam sebagaimana terakam pada kebanyakan kitab fekah, bab memuliakan guru antara intisari terawal pengajian.

Lebih lagi dalam dunia global yang meledakkan teknologi pintar diwarnai pula dengan kecanggihan gajet dan peranti mudah capai yang mampu mengubah orientasi pemikiran, budaya, gaya hidup dan nilai. Sekaligus profesion dan tanggungjawab guru semakin mencabar dalam menangani pelbagai akibat dan konflik jati diri dan personaliti generasi. Ini termasuk mengurus kerencaman kaum, budaya dan agama rakyat Malaysia.

Justeru itu, para guru diseru mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman serta menguasai kemahiran secara holistik agar terus mampu mengembleng pengembangan minda dan kompetensi anak didik secara kreatif dan inovatif. Seterusnya para guru mampu mendepani futuristik dan dinamika dunia pendidikan, termasuk mengekang dan menghindari generasi dari gejala merosakkan secara konsisten dan beristiqamah.

Selaku entiti politik dan gerakan Islam yang menggerakkan usaha kepada ummah khususnya anak muda, kami merasa sangat hampir dan seiring dengan para guru. Mengakui koalisi guru dalam meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara agar setaraf kepesatan dunia, Kementerian Pendidikan Malaysia mesti meneliti keperluan semasa para guru.

Isu Program Dwi-Bahasa (DLP) yang mencelarukan, beban tugas kian banyak, penempatan tidak strategik dan aspek berkebajikan, kemudahan sekolah yang masih jauh ketinggalan, peruntukan kewangan semakin mengecil dan banyak lagi isu yang mengelilingi warga pendidik, wajib diberi perhatian. Dengan harapan, ia tidak merencatkan minat dan kesungguhan para guru mengiltizamkan usaha membina keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek sebagaimana hasrat pengajaran dan pembelajaran.

Buat semua warga pendidik, teruskan beristiqamah. Selamat menyambut Hari Guru 2017. Semoga khidmat bakti dalam dunia pendidikan akan dikurniakan ganjaran besar di sisi Allah SWT serta mencapai kemenangan dunia dan akhirat.

Sekian, terima kasih.

“Mara Menuju Cita”

“Sejahtera Bersama Islam”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia