Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Back Utama Kenyataan Ketua DPPM KENYATAAN MEDIA DPPM | Pencapaian Universiti Awam Banggakan Malaysia Di Mata Dunia

KENYATAAN MEDIA DPPM | Pencapaian Universiti Awam Banggakan Malaysia Di Mata Dunia

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
16 Julai 2017 | 22 Syawwal 1438

“PENCAPAIAN UNIVERSITI AWAM BANGGAKAN MALAYSIA DI MATA DUNIA”

1. Kejayaan beberapa universiti awam negara memperbaiki kedudukan masing-masing berdasarkan kajian dikeluarkan QS World University Ranking for 2018 merupakan pencapaian membanggakan hingga mengangkat Malaysia pada tangga ke-25 dalam kedudukan sistem pengajian terbaik di dunia.

2. Ia tentunya terhasil dari usaha gigih setiap IPTA di negara ini dalam mengembangkan ilmu, meneroka penemuan dan menjana penyelidikan, sekali gus menjadi pemangkin usaha untuk lebih cemerlang dan maju dalam memastikan kesinambungan memartabatkan Institusi Pengajian Tinggi.

3. Dari pencapaian tersebut, Universiti Malaya (UM) telah menempa kedudukan paling tinggi berbanding universiti tempatan yang lain apabila berada di tangga ke-114 universiti terbaik dunia. Malah, IPTA tempatan juga berada pada tangga ke-10 universiti terbaik di ASEAN.

4. Iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Sekali gus bermakna IPTA ini berada pada Top 1% dalam senarai universiti di seluruh dunia.

5. Pencapaian ini diharap bakal memberi impak positif kepada mahasiswa dan mahasiswi universiti awam tempatan dalam membawa cabaran generasi muda masa kini dan masa akan datang. Terutama dalam menghadapi era Revolusi Perindustrian 4.0 yang bakal merubah landskap dunia.

6. Dengan perkembangan itu, kami berharap IPTA bukan sahaja melihat aspek perkembangan fisikal Sains dan Teknologi semata-mata, tetapi juga sentiasa memberi penekanan terhadap aspek Sains Sosial. Khususnya dalam memberi tumpuan kepada pembinaan tamadun manusia yang diolah selari menurut kerangka Islam.

7. Berikutan pengurangan dana IPTA dalam Bajet Negara sejak dua tahun lalu, kami berharap bajet akan datang memberi keutamaan kepada IPTA dan sentiasa diberi keutamaan dalam perbelanjaan negara. Syabas dan selamat maju jaya kepada seluruh warga IPTA seluruh negara.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL BIN ABDUL HADI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia