Sel09262017

Last updateIsn, 25 Sep 2017 3pm

Back Utama Kenyataan Ketua DPPM KENYATAAN MEDIA DPPM | “Undi PH Bererti Memberi Undi Kepada Dap”

KENYATAAN MEDIA DPPM | “Undi PH Bererti Memberi Undi Kepada Dap”


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
6 September 2017 | 15 Zulhijjah 1438

“UNDI PH BERERTI MEMBERI UNDI KEPADA DAP”

1.    Pemuda PAS di seluruh negara kini bersiap siaga menghadapi PRU14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang terutama sebagai jentera utama di semua Dun dan Parlimen yang akan PAS tandingi. Jentera Pemuda PAS akan bertindak selaku pelincir utama yang ‘mendokong’ tugas-tugas pilihanraya, termasuk bersedia selaku calon untuk merealisasikan peranan memimpin.

2.    Kami juga siap siaga menempuh cabaran pertembungan berapa penjuru sekalipun yang mungkin berlaku dengan strategi diolah sesuai lunas demokrasi serta peraturan pilihan raya. Dalam pertarungan yang berlaku nanti, parti mana jua kami hadapi atau menentang kami, bererti mereka adalah musuh untuk kami tewaskan. Oleh itu, kami tegaskan, tiada sebarang kompromi kepada BN mahupun PH.

3.    Kami melihat PRU14 sebagai medan yang semakin unik dan penuh cabaran, kesan dari pelbagai perubahan dalam negara terutama keterbukaan minda rakyat, selain perpecahan parti pemerintah. Ini menjadikan potensi setiap parti turut berubah di mana PAS yakin dapat mencapai kejayaan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dan empat negeri, dengan izin Allah.

4.    Selama 62 tahun di bawah pemerintahan BN (dahulu Perikatan), negara masih diselimuti oleh pelbagai kebejatan, salah urus tadbir, kepincangan, penyelewengan dan ketidakadilan. Malaysia kini menanggung pelbagai bebanan, risiko dan ancaman dalam keadaan perpaduan dan integriti paling lemah. BN telah gagal mempertahankan sebegitu banyak lunas penting dalam Perlembagaan Malaysia dan Kontrak Sosial.

5.    Kini kerap kali Islam sebagai agama Persekutuan; kedaulatan Raja-raja Melayu; hak keistimewaan Melayu; Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; Tanah Rizab Melayu; dan hak bangsa serta penganut agama lain; dicabar dan diremehkan. Ia menyebabkan gugatan kepada keharmonian dalam negara di mana berpunca dari pencabulan pernah dilakukan Umno-BN sendiri.

6.    Ketika sama, pertembungan politik dalam negara menjadi semakin tajam dan lebih menjurus kepada penguasaan kedudukan serta bermotif untuk saling menjatuhkan. Kesannya wujud sikap melampau yang dilatari dengan kontroversi, sensasi, manipulasi dan provokasi termasuk kebiasaan fitnah dan ugutan. Semua ini menjadikan suhu politik sentiasa panas, tegang dan memualkan rakyat.

7.    Malah, kemaruk kuasa menyaksikan terdapat pihak dari PH yang berhubungan dan mengundang entiti asing. Ia merisikokan kepada campur tangan luar yang boleh menjahanamkan negara sepertimana terjadi kepada beberapa negara di Timur Tengah. Paling dikesali apabila menjadikan Islam sebagai mangsa dan sasaran serangan dengan mempertikai dan menghina serta membibitkan pelbagai rasa tidak puas hati.

8.    Mutakhir ini api tersebut sering dicetuskan DAP yang menyemarakkan hasutan kebencian dan tuduhan terutama terhadap usaha agama dibawa PAS. Ketika sama, pergerakan DAP turut dibayangi agenda Evangelis Kristian dan bercita-cita menawan untuk mengsekularkan negara ini. Bahkan tindak tanduk DAP jelas mahu menjadi dominan di dalam PH, sekali gus menentu arah setiap tindakan pakatan itu.

9.    Keadaan itu mendedahkan hakikat bahawa undi kepada parti di dalam PH bermakna memberi undi kepada DAP. DAP sebenarnya menyelindungi wajah hipokrit dengan menyelinap serta mempengaruhi PAN, PPBM dan PKR untuk dicengkam sebagai proksi dalam melaksanakan pelbagai misinya. Oleh itu, mengalahkan BN dan PH adalah misi menyelamat yang penting buat negara pada PRU14 nanti.

10.  Bagi kami, politik seharusnya menjadi wadah kebertanggungjawaban oleh kepimpinan bagi melaksanakan setiap urusan rakyat dan negara dengan naungan paling jujur dan profesional, bukannya peluang atau kesempatan peribadi, kroni mahupun parti. Inilah kesungguhan yang PAS gagaskan menerusi Budaya Politik Matang dan Sejahtera ke arah meletakkan kembali negara dilandasan betul.

11.  Semua ini hanya dapat dilaksanakan dengan meletakkan paksi Malaysia berasaskan pemerintahan Islam yang dipertanggungjawabkan kepada Allah serta adanya perhitungan pahala dan dosa. Hanya Islam dapat memberi jaminan dan perlindungan hakiki terhadap segala kepentingan, hak, nilai dan usaha. Peranan ini adalah sandaran masa depan yang kini terletak di tangan rakyat untuk menentukannya.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia