Sel09262017

Last updateIsn, 25 Sep 2017 3pm

Back Utama Kenyataan Ketua DPPM KENYATAAN MEDIA DPPM | Malaysia Dituntut Zahirkan Ketegasan Terhadap Myanmar

KENYATAAN MEDIA DPPM | Malaysia Dituntut Zahirkan Ketegasan Terhadap Myanmar


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
7 September 2017 | 16 Zulhijjah 1438

“MALAYSIA DITUNTUT ZAHIRKAN KETEGASAN TERHADAP MYANMAR”

1.    Dunia dilanda kebimbangan oleh tindakan Korea Utara yang terus melakukan provokasi dengan mengadakan ujian peluru berpandu dan berisiko menyebabkan kehilangan banyak nyawa. Amerika Syarikat pula segera bertindak menempatkan pasukan dan aset ketenteraan di rantau ini demi melindungi kepentingan dan sekutunya.

2.    Malangnya, nyawa etnik Rohingya yang terbunuh oleh kekejaman rejim Myanmar seakan dibutakan dari penglihatan dunia. Jauh sekali untuk menghantar entiti bagi usaha mengekang kejahatan tersebut dari terus berlanjutan. Maka Myanmar menjadi semakin angkuh dan sewenangnya melakukan penghapusan etnik.

3.    Ketidakpedulian itu hanyalah kerana etnik Rohingya mengaku tuhan mereka adalah Allah dan Islam sebagai pegangan hidup. Sekali gus menyaksikan peraturan dunia sebenarnya terpakai secara terpilih dan mengikut kepentingan kekuasaan. Sebaliknya menindas di pihak yang lain biarpun bertentangan norma sejagat.

4.    Myanmar kini setanding Israel dan Serbia yang muncul sebagai ‘kerajaan ekstremis’ di mana menuntut tamadun manusia segera mengambil tindakan tegas terhadap kebinatangan dan kebuasan dilakukan. Malaysia atas persaudaraan Islam dan demi kemanusiaan, perlu bertindak berani memulakan ketegasan.

5.    Selaku negara yang pernah mengetuai agenda keamanan dalam Sidang Kemuncak ASEAN serta komited mengekang radikalisme, Kuala Lumpur dituntut memanggil pulang Duta Besar Malaysia dari negara itu. Negara juga perlu serta merta mengadakan pengisytiharan mengusir keluar Duta Myanmar dari negara ini.

6.    Kerajaan Malaysia juga didesak memberikan tekanan kepada Myanmar dengan memutuskan sebarang hubungan dagang serta mengusulkan supaya negara itu dilucutkan dari keanggotaan ASEAN. Selanjutnya, Malaysia perlu merintis perbincangan mewujudkan pasukan pengaman dari kalangan negara umat Islam.

7.    Usaha awal itu boleh dilakukan bersama Indonesia, Turki, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara lain. Kami percaya, kewujudannya kelak dapat mengimbangi pelbagai tekanan lain yang dihadapkan terhadap Islam khususnya oleh kuasa-kuasa besar lain atas saling pertembungan dan kepentingan mereka.

8.    Pemuda PAS sedang mengatur usaha memanggil sayap pemuda dari Gerakan Islam seluruh dunia untuk mengadakan satu sidang meja bulat bagi membincang isu kritikal ini dengan segera. Seterusnya semua resolusi akan dilaksanakan bagi melobi segala tindakan bagi menangani keganasan Myanmar dari terus merebak.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia