Sab08192017

Last updateJum, 18 Ogs 2017 8pm

Back Utama Kenyataan Ketua/Pemangku DUPP Perutusan Ramadhan 1438H Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Perutusan Ramadhan 1438H Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

PERUTUSAN RAMADHAN 1438H KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Rasulullah SAW Bersabda:

Maksudnya: Apabila tiba bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.  ( Riwayat Imam Muslim).

Ramadhan adalah bulan yang terlalu istimewa sehinggakan seluruh pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup sebagai suatu sokongan kepada umat Islam untuk meningkatkan amal ibadat. Al-Quran yang menjadi sumber perundangan serta diturunkan pada bulan Ramadhan mesti diutamakan dan sentiasa dibaca pada setiap hari. Antara sifat Al-Quran ialah hudan linnas atau memberi petunjuk kepada manusia, maka umat Islam mestilah merujuk dalam apa jua perkara kepada tuntutan Al-Quran ini.

Usaha-usaha berkebajikan sangat dituntut dan hendaklah diperbanyakkan pada bulan ini khasnya kepada mereka yang memerlukan. Setiap sumbangan yang diberikan tidak akan berkurangan bahkan sentiasa bertambah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya : Tidak akan berkurang sedikitpun setiap sedekah yang dikeluarkan daripada harta. (Riwayat Muslim)

Sempena kehadiran bulan yang penuh berkat ini, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh umat Islam mempertautkan hubungan silaturrahim dan menjana ukhuwwah yang padu. Kekuatan serta keizzahan Islam itu akan lebih terserlah melalui kekuatan kesatuan hati-hati umat Islam mempertahankan tuntutan agama. Semoga Ramadhan 1438H menjadi kunci kekuatan umat Islam dalam membangunkan masyarakat dan negara yang sejahtera di tanah air tercinta.

”SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

”MEMBINA NEGARA SEJAHTERA”


USTAZ DATO’ DR. HJ MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat