Sel07252017

Last updateIsn, 24 Jul 2017 11pm

Back Utama Kenyataan Pesuruhjaya PAS Johor Memorandum : Tangani Isu Rasuah Dengan Telus Dan Berintegriti Tanpa Campur Tangan Politik

Memorandum : Tangani Isu Rasuah Dengan Telus Dan Berintegriti Tanpa Campur Tangan Politik

MEMORANDUM KEPADA MENTERI BESAR NEGERI JOHOR

TAJUK : TANGANI ISU RASUAH DENGAN TELUS DAN BERINTEGRITI TANPA CAMPUR TANGAN POLITIK
Tarikh : 3 Jamadil Akhir 1438 bersamaan 2 Mac 2017


PENGENALAN

Rasuah adalah satu gejala keji yang telah menular dan menjalar dengan parah di dalam masyarakat Malaysia. Seolah-olahnya tiada langkah dilakukan untuk menangani kegiatan ini.

Dalam Al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Adakalanya rasuah disebut sebagai "makan suap" dan "tumbuk rusuk" dalam pepatah Melayu.

Dewasa ini istilah seperti “wang kopi”, “undercounter payment” dan “duit pelincir” serta pelbagai istilah dicipta untuk menggambarkan rasuah.

Dalil dari Al Quran tentang rasuah :

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."
Surah Al-Baqarah: 188

Terdapat dalil dari hadith Nabi Muhammad SAW tentang rasuah :

Dari Ai'syah r.a., katanya: "Rasulullah S.A.W. melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." HR al-Bazzar & Abu Ya'la

RASUAH SEMAKIN PARAH

Seakan rasuah semakin membimbangkan apabila kedudukan Malaysia merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun 2016, daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara dengan skor merosot kepada 49 berbanding 50 pada tahun lalu sehingga Presiden Transparency International (TI)-Malaysia, Datuk Akhbar Satar telah melahirkan kebimbangannya berhubung kurangnya keinginan politik dalam menangani rasuah.

Gejala rasuah merebak dengan begitu meluas di dalam sektor perkhidmatan awam. Pada tahun 2015, seramai 398 penjawat awam ditangkap kerana rasuah dan ia meningkat 173 orang berbanding tahun 2014. Tahun 2016 pula, seramai 467 penjawat awam yang ditangkap dengan beberapa kes yang membimbangkan rakyat.

Awal tahun lalu sebagai contohnya, seorang penjawat awam berpangkat Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32 pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM38.4 Juta. Kes rasuah yang dianggap antara yang paling teruk sehingga menimbulkan pelbagai perbahasan dalam massa. Jika tidak dibendung, penyakit sosial boleh menjadi barah yang sukar diubat.

PENAHANAN ANAK EXCO KERAJAAN NEGERI JOHOR

Isu penahanan seorang anak Exco Kerajaan Negeri Johor bersama lima lelaki yang lain dikatakan telah terlibat dengan rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor apabila terbabit dalam penukaran status rumah-rumah Bumiputera kepada Bukan Bumiputera.
Ahmad Fauzan Hatim bin Abdul Latif Badi dan Pegawai Khas kepada Datuk Abdul Latif iaitu Muhammad Idzuan Jamalludin adalah di antara mereka yang terlibat dalam tangkapan baru-baru ini.

Mereka ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas isu yang melibatkan aktiviti penukaran status rumah Bumiputera kepada Bukan Bumiputera dibuat sejak tahun 2013 melibatkan beberapa pemaju di Johor sehingga menyebabkan mereka yang layak untuk mendapat rumah status Bumiputera tidak mampu untuk membeli rumah akibat daripada kegiatan mungkar ini.

Ini menyebabkan mereka yang berstatus Bumiputera dan masyarakat yang berpendapatan rendah tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harga rumah yang meningkat lebih tinggi daripada harga asal yang ditawarkan.

DESAKAN BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI JOHOR

Melihat kepada isu gejala rasuah yang sedang melanda negara kita khususnya kerajaan Negeri Johor yang melibatkan Exco Kerajaan Negeri Johor itu sendiri maka Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mendesak agar beberapa perkara berikut dilaksanakan dengan segera.

1. Menggantung jawatan Dato’ Abdul Latif bin Bandi sebagai Pengerusi Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor dengan serta-merta.

2. Memberikan kerjasama kepada SPRM seluas-luasnya untuk menyiasat penyelewengan yang telah berlaku di bawah Potfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

3. Menggesa agar siasatan hendaklah dilakukan oleh SPRM supaya ia dapat dijalankan dengan telus tanpa campur tangan politik.

4. Mendesak agar pemberi rasuah yang terlibat dengan kes ini mestilah di ambil tindakan yang sewajarnya.

5. Mendesak supaya pemaju-pemaju yang terlibat dihukum dan disenaraihitamkan supaya menjadi pengajaran kepada mereka.

PENUTUP

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor melihat isu ini sebagai satu petanda bahawa gejala rasuah dan salah guna kuasa semakin berleluasa. Tidak mustahil bahawa gejala ini meresap ke dalam agensi-agensi lain di dalam pentadbiran kerajaan Negeri Johor.

Justeru sebagai tindakan susulan, Badan Perhubungan PAS Negeri Johor akan bertemu dengan SPRM bagi menggesa SPRM untuk membuat siasatan bukan hanya melibatkan Bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sahaja tetapi melibatkan semua Bahagian yang ada di bawah pentadbiran Menteri Besar Negeri Johor.

Sekian, wassalam

Dato’ Dr Haji Mahfodz bin Mohamed
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor