Jum06232017

Last updateJum, 23 Jun 2017 12pm

Back Utama Kenyataan Pesuruhjaya PAS Kedah KAJI SEMULA PEMBINAAN STADIUM

KAJI SEMULA PEMBINAAN STADIUM

Kenyataan Media PAS Kedah

Hebahan mengenai pembinaan Stadium Darulaman yang baharu di Stargate, Tandop baru-baru serta perobohan stadium lama telah menimbulkan beberapa persoalan yang berlegar di fikiran rakyat.

Pertama, apakah cadangan pembinaan stadium berkenaan terletak di atas tanah pertanian MADA yang selama ini berfungsi sebagai pembekal makanan utama (beras) negara? Jika demikian, berapakah keluasan tanah yang terlibat dan dimanakah pula cadangan tapak penggantian tanah MADA disyorkan?

Kedua, apakah kerajaan negeri membuat pusingan 'U' kali kedua selepas menarik balik cadangan pembinaan tapak industri di sekitar bandaraya Alor Setar tetapi kini diganti pula dengan pembinaan Stadium Darulaman yang dianggar menelan belanja ratusan juta ringgit?

Sebagai negeri "Jelapang Padi" yang berperanan menyediakan tidak kurang 30 peratus simpanan padi beras negara, kerajaan negeri seharusnya mempertingkatkan hasil pengeluaran serta berusaha membantu para petani menghadapi kenaikan kos penanaman dan penjagaan padi; bukannya mengurangkan kawasan penghasilan padi.

PAS Kedah secara prinsipnya menyokong penuh pembangunan sukan negeri ini, khususnya bidang bolasepak yang menunjukkan kecemerlangan mutakhir ini. Namun sebarang tindakan ke arah itu mestilah dibuat dengan kajian mendalam supaya semua pihak, lebih-lebih lagi rakyat Kedah mendapat manfaat bersama serta terhindar dari sebarang kerugian sama ada jangka pendek atau panjang.

Justeru itu, PAS Kedah menggesa supaya cadangan pembinaan Stadium Darulaman di Stargate dikaji semula sekiranya ia melibatkan tanah-tanah pertanian demi kepentingan rakyat dan negara. Oleh kerana hal berkaitan menjadi isu besar rakyat negeri ini, maka lebih wajar sekiranya perkara tersebut dibincang dan diputuskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang diadakan pada 10 April 2017 nanti.

 

Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi

Pesuruhjaya PAS Kedah

28 Februari 2017.

 

[jathumbnail on]