Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Back Utama Kenyataan Pesuruhjaya PAS Sarawak Perutusan Aidilfitri 1438H PAS Sarawak

Perutusan Aidilfitri 1438H PAS Sarawak


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1438H, Taqabbalallahu minna wa minkum.

Saya mewakili PAS Negeri Sarawak ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah di atas kejayaan kita semua dalam menyumpurnakan ibadah puasa dan juga ibadah-ibadah yang lain di bulan Ramadhan yang akan meninggalkan kita.

Hari Raya ialah hari untuk kita menyambut kemenangan kita mengharungi cabaran nafsu dengan melaksanakan berbagai-bagai aktiviti ibadah dan kebajikan sama ada secara individu atau berjemaah.

Sesungguhnya kejayaan hakiki seorang hamba di sisi Allah SWT ialah apabila dikurniakan dengan keredhaan Allah di dalam apa jua tindakan dan amalannya. Ramadhan telah mendidik kita bagaimana mendapat redha Allah di dalam ibadah maka redha Allah jualah yang kita cari di dalam kehidupan kita yang lain sama ada dalam pergaulan suami isteri dan ahli keluarga, pergaulan dalam bermasyarakat, lebih-lebih lagi kita sangat mengharapkan redha Allah dalam bernegara melalui politik Islam.

Nabi SAW bersabda maksudnya:

"Bagi orang berpuasa itu dua kegembiraan, (pertama) kegembiraan ketika berbuka, (kedua) kegembiraan ketika bertemu Tuhannya (di Akhirat nanti)."

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa kejayaan atau kemenangan bukan hanya di dunia tetapi yang sangat kita harapkan ialah kejayaan ketika bertemu Allah SWT di Akhirat nanti.

Marilah kita terus beristiqamah menggapai redha Allah di dalam kehidupan kita. Perjuangan mencapai redha Allah pasti akan berhadapan cabaran dan ujian dari Allah sama ada dari musuh luaran yang terdiri daripada manusia yang akan sentiasa menghalang dan menentang perjuangan Islam dan tidak kurang juga musuh dari dalam diri kita sendiri iaitu nafsu.

Di dalam kegembiraan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ini janganlah kita lupa saudara-saudara seagama yang sedang bergelut dan berjuang mempertahankan agama Allah di seluruh dunia khususnya di negara-negara umat Islam yang sedang bergolak dan diperangi oleh musuh-musuh Allah seperti di Palestin, Syria, Iraq, Yaman, Mesir, Yaman, Myanmar dan yang terkini negara Qatar serta seluruh negara umat Islam.

Semoga Allah SWT menerima segala amal kita dan pesanan saya, penuhilah sambutan Hari Raya kali ini dengan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, eratkan ukhuwwah sesama umat Islam kerana dengan kekuatan ukhuwwah Islamiyyah, umat Islam akan mendapatkan kembali kekuatannya beserta redha Allah SWT.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd!

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

#UntukmuSarawak
#SejahteraBersamaIslam

HJ JOFRI BIN JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak