Isn06262017

Last updateAhd, 25 Jun 2017 6pm

Adun Puteri Wangsa Bergotong Royong Memasang Pagar Rumah Asnaf

Tebrau, 4 Jun 2017: Kedatangan Syawal pada tahun ini bakal memberikan kenangan terindah buat seorang ibu tunggal, Puan Shalawati binti Mohd Shukri, bersama-sama 5 anak beliau yang masing-masing berumur 6 hingga 16 tahun. Beliau yang kini menyara hidup mereka 6 beranak dengan mengambil upah menjahit baju telah ditakdirkan kematian suami tercinta pada Syawal tahun lepas akibat kemalangan. Kedaifan mereka turut teruji dengan keadaan pagar rumah yang mereka diami juga tidak sempurna dan semakin usang dimamah mentari dan hujan.

Melihat kepada keadaan ini, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Puteri Wangsa (N 41) beserta Unit Amal PAS Tebrau telah bekerjasama untuk memasang pagar baru buat keluarga ini bertempat di kediaman mereka di sini (Taman Puteri Wangsa) pada 4 Jun yang lepas.

Turut membantu sehingga selesai pemasangan pagar baru ialah Adun Puteri Wangsa sendiri iaitu YB Ustaz Abdullah bin Husin. Meskipun mempunyai jadual yang padat, Adun N 41 itu yang juga merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Johor masih sudi menyantuni masyarakat tanpa mengira penat dan lelah.

Puan Shalawati merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menyediakan pagar baru buat mereka sekeluarga. Semoga Syawal yang bakal menjelang memberikan seribu harapan dan sejuta sinar untuk 6 beranak ini. Syabas dan tahniah juga buat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Puteri Wangsa (N 41) beserta Unit Amal PAS Tebrau atas sikap prihatin terhadap masyarakat di dalam Dun Puteri Wangsa khususnya dan warga Tebrau amnya.