Jum08182017

Last updateKha, 17 Ogs 2017 5pm

Penyelia Dun PKR layak terima peruntukan RM200,000

MANA-mana Penyelia Dun daripada PKR yang menerima surat pelantikan daripada kerajaan negeri layak menerima peruntukan kesejahteraan rakyat berjumlah RM200,000 setahun.

Selain itu mereka juga menerima elaun bulanan untuk membolehkan berkhidmat kepada rakyat.

Bagaimanapun sehingga sekarang ada penyelia Dun dan parlimen daripada PKR yang sudah menerima pelantikan mereka dan mendapat surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Namun ada juga dalam kalangan mereka belum mengesahkan pelantikan. Keadaan itu menyebabkan mereka tidak mendapat peruntukan untuk Dun yang mereka wakili.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Roslan Wan Hamat berkata, peruntukan untuk Dun dan elaun penyelia hanya diberi selepas mereka mengesahkan surat tawaran pelantikan daripada kerajaan negeri.

Oleh itu katanya, tidak berbangkit ada penyelia daripada PKR yang terpaksa menggunakan wang sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka wakili.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah hari ini dilapor berkata, anggota PKR yang mendapat jawatan lantikan politik di Kelantan masih menunggu tunggakan bayaran yang sepatutnya dijelaskan kerajaan negeri.

Pada 16 Mei lalu Biro Politik PKR mengeluarkan arahan supaya semua lantikan politik di Kelantan meletak jawatan ekoran berakhir tahaluf siyasi dengan PAS.

Sebelum ini Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan Kelantan mengamalkan sikap terbuka terhadap 56 lantikan politik daripada PKR bagi memberi ruang mereka untuk terus berkhidmat.

PKR diberi peluang berkhidmat sebagai penyelia parlimen di Machang, Tanah Merah dan Ketereh, manakala penyelia Dun di Paloh, Nenggiri dan Kuala Balah. – HARAKAHDAILY 8/8/2017