Jum06232017

Last updateJum, 23 Jun 2017 12pm

PROGRAM BANTUAN KEWANGAN BENCANA PENYAKIT HAWAR DAUN BAKTERIA (BLB) KEPADA PESAWAH DI DAERAH SABAK BERNAM DAN KUALA SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR

PROGRAM BANTUAN KEWANGAN BENCANA PENYAKIT HAWAR DAUN BAKTERIA (BLB) KEPADA PESAWAH DI DAERAH SABAK BERNAM DAN KUALA SELANGOR

Serangan Penyakit Hawar Daun atau lebih dikenali sebagai Bacterial Leaf Blight (BLB) telah melanda kawasan tanaman padi di Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada musim penanaman yang lepas iaitu pada musim 2 tahun 2016.

Jabatan Pertanian Selangor melaporkan kesan jangkitan penyakit ini telah menyebabkan kemerosotan hasil tuaian sehingga 60% dan secara langsung telah menyebabkan pendapatan pesawah mengalami penurunan yang sangat drastik serta menjejaskan kehidupan harian para petani khususnya dari segi ekonomi.

Seramai 8,953 pesawah telah terkesan akibat daripada serangan penyakit BLB yang merangkumi sejumlah 8,892 lot sawah bermula dari Daerah Kuala Selangor sehingga ke Daerah Sabak Bernam atau lebih kurang 56% kawasan sawah padi di Negeri Selangor terlibat dengan serangan penyakit hawar daun bakteria ini pada musim 2/2016 di mana majoritinya adalah kawasan di dalam Daerah Sabak Bernam.

Kerajaan Negeri Selangor semasa sesi penggulungan perbahasan oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar di Dewan Negeri yang bersidang pada 31 Mac 2017 yang lepas, telah mengumumkan dan meluluskan bantuan tunai sejumlah RM8,536,320.00 untuk diberikan kepada pesawah-pesawah yang terlibat dengan serangan penyakit BLB ke atas tanaman padi mereka dengan nilai maksima RM960.00 untuk satu lot sawah.

Program penyerahan bantuan ini telah dimulakan di Kawasan Blok Pengairan Panchang Bedena, Sabak Bernam pada 7 April 2017 yang lepas, di mana majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan sendiri oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor yang melibatkan sejumlah 2,544 pesawah.

Semalam 15 Jun 2017, program diteruskan dengan melibatkan sejumlah 698 pesawah dari Kawasan Sg. Burong, Kuala Selangor dengan keluasan sawah lebih kurang 790 hektar yang telah terkesan dengan serangan penyakit hawar daun bakteria tersebut.

Pada hari ini, 16 Jun 2017 pula, seramai 1,323 pesawah dari Kawasan Sekinchan telah menerima bantuan kewangan tersebut manakala di sebelah petang pula pesawah dari Blok Pengairan Sg. Leman yang menerima bantuan tersebut yang melibatkan seramai 1,367 pesawah. Program bantuan akan diteruskan sehingga penyerahan peringkat akhir pada 20 Jun 2017 ini yang melibatkan Kawasan Blok Pengairan Bagan Terap dan Pasir Panjang.

Saya juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Pusat turut memberikan bantuan kewangan kepada pesawah yang terjejas dengan serangan penyakit BLB tersebut dengan jumlah hanya RM559.20 satu lot berbanding RM960 satu lot oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Pihak Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan segera pada peringkat permulaan serangan ini terjadi dengan memberikan bantuan input pertanian sebanyak RM940,000.00 melibatkan 2,000 orang pesawah dan diteruskan dengan pemberian bantuan kewangan RM8.5 juta

Kita mengharapkan agar bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan dan memberikan kegembiraan kepada para pesawah menjelang syawal yang bakal tiba.

Bagi memastikan bencana serangan penyakit ekstrem seperti apa yang terjadi sebelum inj tidak berulang lagi, suka saya menasihati para pesawah agar sentiasa berhubung rapat dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian Negeri Selangor dengan mengamalkan pertanian baik disamping dapat mengurangkan kebergantungan secara total terhadap penggunaan baja-baja dan racun-racun berasaskan kimia dan secara perlahan bergerak ke arah pertanian berkonsepkan Natural Farming selari dengan pendekatan Smart Agriculture.

Kerajaan Negeri sentiasa manifestasikan sikap kepedulian rakyat.

Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli.

Dikeluarkan oleh,

YB Tn Hj Zaidy Abdul Talib
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor
16 Jun 2017