Sab06242017

Last updateSab, 24 Jun 2017 6am

Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus : GST : SISTEM PERCUKAIAN YANG GAGAL & MEROSAKKAN

Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus

Selasa 9 Mei 2017 | 12 Syaaban 1438H

GST : SISTEM PERCUKAIAN YANG GAGAL & MEROSAKKAN


1. Kerajaan sering mencanangkan bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah berjaya apabila ia menjadi penyumbang terbesar bagi kategori hasil cukai tidak langsung Kerajaan yang berjumlah 27.2% pada 2017 (iaitu meningkat 5.7% dari tahun sebelumnya). GST menyumbang sebanyak RM38.5 bilion bagi 2016 (peningkatan 42.5% dari 2015) dan dianggarkan menyumbang sebanyak RM40 bilion pada 2017.

2. Walaupun begitu, sebenarnya kegagalan GST ini boleh dilihat dalam banyak aspek dan kesan buruknya amat dirasai oleh masyarakat.

3. Apa ertinya kebanggaan kerajaan sekiranya hasil negara meningkat atas penderitaan rakyat berpendapatan rendah yang menanggung akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan di semua peringkat yang tidak terkawal.

4. Peningkatan hasil pula hanya menyumbang kepada kerajaan terus boros dalam berbelanja sebagaimana disaksikan dalam bajet defisit 2016 dan 2017. Ia dibuktikan dengan pertambahan hutang kerajaan persekutuan setiap tahun yang sehingga kini telah melebihi RM655 bilion sedang hutang kerajaan pada 2009 hanyalah RM376 bilion.

5. Peningkatan hasil menambahkan ketirisan kerajaan dalam perbelanjaan yang sebahagiannya mengalir ke kantung orang kaya yang menjadi kroni kerajaan dan bukannya mengalir terus kepada rakyat bawahan.

6. Sejak awal pengenalan dan pelaksanaan GST, Kerajaan berulang kali menegaskan bahawa ia adalah cukai yang sangat efisen kerana dapat membendung para peniaga daripada mengelak untuk membayarnya.

7. Namun, realiti yang berlaku ialah kira-kira 25,000 syarikat yang berdaftar di bawah GST ini didapati masih tidak menghantar penyata pembayaran mereka kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

8. Bahkah, 20% daripada jumlah yang menghantar penyata pula didapati menyerahkan penyata pembayaran cukai yang meragukan. Selain itu, banyak juga syarikat berdaftar GST yang masih mengikrar jumlah yang lebih rendah daripada yang sepatutnya.

9. Keadaan ini menyebabkan JKDM mengambil tindakan memasang sebanyak 5,000 peranti kecil atau dongle di premis yang berdaftar sistem GST dan kos ini perlu ditanggung oleh Kementerian Kewangan.

KADAR INFLASI MENINGKAT

10. Baru-baru ini dilaporkan pula bahawa kadar inflasi pada Mac meningkat kepada 5.1% (daripada 4.5% pada Februari dan 3.1% pada Januari) menghampiri rekod lapan tahun lepas pada November 2008 (dengan kadar 5.7%). Sedangkan BNM dalam laporannya mengunjurkan kadar inflasi pada 2017 berada pada purata 3% hingga 4% sahaja.

11. Berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP), penyumbang terbesar kenaikan harga barangan adalah segmen pengangkutan iaitu sebanyak 23% selain barangan makanan dan minuman bukan alkohol. Kenaikan ini berkait rapat dengan dasar transformasi pencukaian negara dan akibat keputusan kerajaan menghentikan subsidi bahan petroleum serta mengapungkan harga bahan api ini sehingga terdedah kepada risiko turun naik harga yang sukar dikawal.

12. Kenaikan kos pengangkutan ini telah memberikan kesan berantai kenaikan pelbagai kos terhadap industri-industri lain. Begitu juga bagi segmen barangan makanan dan minuman bukan alkohol pula, ia menunjukkan dengan jelas berkadar terus dengan GST.

13. Jadi, terbuktilah bahawa dasar pencukaian yang dilaksanakan sejak April 2015 lalu ini menjadi penyebab langsung kepada peningkatan IHP dan kadar inflasi, ditambah pula dengan pemansuhan subsidi.

HARGA KERETA GAGAL TURUN SEBAGAIMANA DIJANJIKAN

14. Berkenaan janji Kerajaan untuk menurunkan harga kereta sehingga 30% menjelang 2018 juga nampaknya tidak akan berjaya. Ini kerana, bagi tempoh 2013 hingga 2015, harga kereta telah turun sebanyak 14.68% namun meningkat semula sebanyak 2.13% pada 2016 menjadikan penurunan keseluruhan harga kereta sehingga 2016 hanyalah sebanyak 12.55%. Hal ini juga amat jelas berlaku akibat pelaksanaan GST.

15. Selain daripada kegagalan-kegagalan ini, lebih mustahak untuk diberikan perhatian ialah sistem percukaian ini adalah tidak patuh syariah terutamanya kerana dipungut daripada perbelanjaan semua orang tanpa mengira tahap pendapatan mereka. Adalah ketentuan Allah bahawa sesuatu yang tidak menepati syarak akan menatijahkan kerosakan demi kerosakan.

16. Dua mufti telah mula bercakap tentang GST yang tidak patuh Syariah ini. Sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kembali bersidang membetulkan kesilapan fatwa sebelum ini dengan memanggil pelbagai pihak di kalangan ilmuwan Islam termasuk PAS bermuzakarah tentang hukum cukai GST.

17. Sepatutnya Kerajaan lebih berwaspada dalam melaksanakan apa-apa sistem percukaian. Ibn Khaldun dalam bukunya Muqaddimah menyebut bahawa cukai boleh menggugat keutuhan tampuk pemerintahan. Beliau juga merakamkan rentetan sejarah kejatuhan beberapa dinasti disebabkan oleh dasar pencukaian.

18. Oleh itu, saya mendesak Kerajaan agar segera melakukan inisiatif bagi memansuhkan sistem percukaian yang sangat membebankan rakyat ini.

Sekian.


“Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI