Kha08242017

Last updateKha, 24 Ogs 2017 1pm

Hadis: Agama Adalah Nasihat

SIRI PERKONGSIAN HADIS

HADIS KETUJUH (7)

Agama Adalah Nasihat


[A] MAKSUD HADIS HADIS

Dari Abi Ruqayah Tamim bin Aus Ad-Daari bahawa Nabi SAW bersabda, “Agama ini adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “Bagi siapa?” Rasulullah SAW menjawab, “Bagi Allah, bagi kitab-kitabNya, bagi RasulNya, bagi para pemimpin kaum muslimin, dan bagi kaum muslimin pada umumnya.”

[Hadis Riwayat Muslim]


[B] KEDUDUKAN HADIS

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahih Muslim pada hadis yang bernombor 55.

Hadis ini merupakan salah satu hadis yang singkat redaksinya, tetapi padat dengan maknanya. Ini merupakan khusus yang dimiliki oleh Rasulullah SAW ketika berbicara. Hadis ini merupakan ungkapan singkat, tetapi mencakupi banyak makna dan faedah sehingga kami menemukan seluruh sunnah dan hukum-hukum syariat, baik perkara usul mahupun cabangnya masuk ke dalam hadis ini.

Bahkan, dalam setiap kalimat hadis ini, seperti kalimat "bagi kitab Allah" kerana kitab Allah jelas mencakupi ajaran-ajaran agama, baik usul dan cabang, mahupun amal perbuatan dab akidah (keyakinan).


[C] FIQHUL HADIS

1. Sebagai seorang Muslim sentiasa diingatkan oleh Allah SWT agar tidak menyekutuan Tuhan Yang Maha Agung. Derhaka atau membelakangkan perintah Allah sudah pasti mengundang kemurkaan Allah SWT.

2. Beriman kepada Al-Quran yang merupakan kitab dari Allah SWT. Al-Quran yang mengandungi Kalamullah, padanya ada mukjizat. Allah memelihara Al-Quran melalui para penghafal Al-Quran dan tulisan dalam Mushaf. Allah juga menjamin yang Al-Quran pasti terjaga sebagaimana peringatanNya di dalam Al-Quran menerusi Surah Al-Hijr, ayat 9.

3. Membenarkan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW menjadi kewajipan bagi kaum Muslimin. Dituntut kepada kita untuk meneruskan perjuangan As-Sunnah Rasulullah SAW dengan menerapakan ajaran Islam ke dalam kehidupan serta meneladani akhlak Baginda SAW.

4. Pemimpin kaun Muslimin adalah pemberintah, para ulamak dan pendakwah. Sebenarnya, pemerintah kaum Muslimin itu sendiri wajiblah yang benar-benar Islam dan mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh.

5. Menyeru manusia kepada jalan Allah SWT merupakan kerja kita sebagai hambaNya. Dalam masa yang sama membina ukhuwwah sesama Islam serta sentiasa menasihati antara satu sama lain.

6. Antara etika memberikan nasihat dalam Islam adalah menasihati secara rahsia. Tutuplah keaiban yang ada pada saudara kita. Fudhail Bin Iyadh pernah mengatakan, "Orang mukmin yang menutup aib saudaranya dan menasihatinya, sedangkan orang derhaka adalah yang membuka aib saudaranya dan mempermalukannya."


[D] INTISARI HADIS

Nasihat adalah bahagian daripada agama dan ajaran Islam, yang terwujud pada amal perbuatan dan perkataan. Nasihat wajib dilakukan sesuai dengan kemampuan. Jika orang yang memberi nasihat yakin bahawa nasihatnya akan diterima, dan dirinya aman dari hal-hal yang tidak diinginkan, maka wajib baginya memberi nasihat. Namun, apabila ia khuatir akan kepada sesuatu yang buruk, maka ia dibolehkan memilih untuk memberikan nasihat atau tidak.


Disediakan oleh, Mohamad Zulkifli.


SUMBER RUJUKAN

Kitab Al-Wafi, Syarah Hadis Arba'in Imam An-Nawawi, karangan Dr Musatafa Dieb Al-Bugho dan Dr Muhyiddin Mistu.


10 Januari 2017 M
11 Rabi'ul Akhir 1438 H


*tulisan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media DUPP.