Jum04282017

Last updateKha, 27 Apr 2017 6pm

Iman Dan Jahiliah: Dua Kutub Yang Bertentangan

Iman Dan Jahiliah: Dua Kutub Yang Bertentangan

(Mukaddimah)


"Jari telunjuk ini, yang menjadi saksi setiap kali solat bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah tidak mungkin sama sekali akan menulis coretan yang hina dan mengampu-ampu. Jikalau sememangnya aku layak dipenjara, aku redha menerimanya. Tetapi jikalau aku dipenjara dengan zalim, aku sama sekali tidak akan tunduk memohon belas kasihan daripada orang yang zalim..."

Bait kata-kata ini sangat sinonim dengan As-Syahid Syed Qutb.

Beliau dituduh pengganas, catatan tadabbur haraki beliau "Fi Zhilalil Quran" sengaja diburukkan agar terlihat menyebar fahaman takfiri. Sedangkan tulisan tersebut mendapat pujian kebanyakan ulamak tafsir.

Antaranya Dr. Hasan Farahat. Beliau menyebutkan bahawa kitab tafsir tersebut menjadi begitu terkenal kerana As-Syahid Syed Qutb telah menulis tafsir ini sebanyak dua kali; kali pertama (1952) beliau menulis dengan tinta seorang alim dan kali kedua beliau menulis dengan darah syuhadak (1960).Tulisan beliau turut mencetuskan aliran penulisan baru dalam tafsir Al-Quran, yakni tafsir Haraki

.

Namun tekad beliau dalam menyedarkan umat telah menimbulkan perseteruan dengan golongan yang bertentangan. Mereka menuduh beliau mengkafirkan golongan yang tidak sehaluan dengan pemikiran beliau dan kononnya tidak berhikmah dalam berdakwah.

Tuduhan ini telah pun dijawab oleh adik lelaki beliau, Muhammad Qutb dengan membawa beberapa ayat Al-Quran untuk diteliti kembali.

Secara ringkasnya Muhammad Qutb membawa isu penyelewengan istilah hikmah yang tersebar luas dalam kalangan masyarakat muslimin.

Kalaulah maksud "dakwah berhikmah" itu sifatnya tidak melukai hati orang yang ditegur, mengapa kaum kafir Quraisy bersungut apabila dinasihati Nabi Muhammad SAW?

Mereka merajuk dan tidak menerima teguran Nabi SAW yang memperbetulkan akidah mereka. Tuduhan mereka kepada Nabi Muhammad SAW:

“Dia mencela tuhan-tuhan kita, memperbodohkan kita dan mengkafirkan nenek moyang kita.”

Mereka memburukkan Nabi SAW seolah-olah baginda bermanhaj takfiri dan gemar mendoktrin masyarakat dengan ajaran yang salah. Sedangkan Nabi SAW merupakan insan yang paling memahami wahyu Allah berbanding kita.

Allah arahkan Nabi supaya berdakwah dengan hikmah. Tetapi kaum Quraisy terasa hati lalu Nabi dilempar pelbagai tuduhan jahat.

Maka sudah tentu tanggapan yang menyebutkan dakwah berhikmah membawa maksud dakwah yang menyembunyikan kebenaran untuk menjaga hati audiens merupakan pandangan yang silap.

Dalam ayat yang lain Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun AS untuk berdakwah kepada Firaun menggunakan ucapan yang lembut. Tetapi lembut yang dimaksudkan adalah untuk menyampaikan kebenaran, bukan menyembunyikannya demi mengambil hati mad’u.

Mereka telah menegur Firaun dengan bahasa jelas tanpa berlapik:

"Sesungguhnya kami telah dimaklumkan (oleh Allah) bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat akan menimpa sesiapa yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling (daripada hidayah)"

(Surah Thoha, ayat 48)

Hakikatnya, Syed Qutb tidak pernah mengatakan kepada seseorang: ‘awak kafir!’

Malah apa yang selalu dikatakan beliau:

“Keimanan itu mempunyai ciri-ciri yang tertentu sepertimana yang telah diterangkan dalam kitab Allah dan sunnah Rasul.

Begitu juga kekufuran, mempunyai ciri-ciri yang diterangkan dalam kitab Allah dan sunnah Rasul. Justeru itu sesiapa yang mendapati ciri-ciri keimanan pada dirinya, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah terhadap nikmat yang telah dikurniakan kepadanya. Dan sesiapa yang mendapati pada dirinya ciri-ciri sebaliknya, maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah dan membersihkan diri dari ciri-ciri yang mengeluarkannya dari keimanan.”

Itulah maksud menggunakan metodologi hikmah serta nasihat yang baik dalam fenomena tersisihnya Islam dari penghayatan kaum muslimin. Fenomena ini diisyaratkan Rasulullah SAW dalam sebuah hadithnya:

“Islam bermula dengan keadaan tersisih dan akan kembali kepada keadaan tersisih sebagaimana mulanya. Justeru, syurgalah balasannya kepada orang-orang yang tersisih.”

(Hadits Riwayat Muslim)


Huraian Ghuraba:

- "Golongan yang mempertahankan kebaikan di kala majoriti manusia rosak dengn meninggalkan sunnahku."

(Hadis Riwayat Tirmizi)

- "Golongan yang tersisih dari qabilahnya."

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Antara kejayaan pemuda kahfi yang perlu kita teladani adalah keberjayaan mereka mempertahankan keyakinan & akidah tatkala manusia sekeliling hanyut dalam kesesatan. Memelihara iman bersama teman-teman seperjuangan dari terdedah kepada bahaya keraguan yang menggugat kesetiaan beragama.

Semakin kita menghayati hakikat iman, kita akan semakin kenal hakikat jahiliah.

Kerana itu pintalah hidayah beragama, kerana iman itu sifatnya menimbulkan rasa sensitif terhadap kejahatan.


Catatan oleh Sofia Alwani Ali


*Catatan asal ini telah pun dicatat pada tanggal 28 Disember 2016. Catatan ini disiar bagi dimanfaatkan oleh para pembaca. Catatan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media DUPP.