Isn06262017

Last updateAhd, 25 Jun 2017 6pm

Kisah Sahabat - Said Bin Zaid



SAHABAT DI SISI RASULULLAH

(SIRI 21)

SAID BIN ZAID
Doa Tanpa Hijab 

Ayahnya, Zaid bin Amru bin Nufail adalah seorang yang berpegang kepada agama asal Nabi Ibrahim. Beliau menolak sembahan-sembahan Quraisy dan upacara keagamaan mereka. Beliau telah merantau ke serata dunia bagi mencari agama asal yang masih suci.

Apabila bertemu dengan salah seorang rahib, beliau menasihatkan Zaid supaya pulang ke Mekah kerana nabi akhir zaman bakal dibangkitkan di sana. Namun Allah mentakdirkan umurnya tidak panjang. Dalam perjalanan pulang, beliau telah diserang lanun dan dibunuh di Balqa'. Sebelum meninggal, beliau sempat berdoa:

"Ya Allah. Jika kau haramkan aku daripada kebaikan ini, maka janganlah kau haramkan anakku daripadanya."

Doanya dimustajabkan Allah. Anaknya Said menjadi antara pemuda terawal memeluk Islam. Isteri Said adalah Fatimah bin al-Khattab, adik Saidina Umar. Beliau juga antara muslimah terawal memeluk Islam. Mereka berdualah menjadi punca keislaman Saidina Umar selepas itu.

Beliau antara yang dijanjikan syurga sebagaimana disabdakan oleh Nabi SAW dalam satu hadis. Juga diisyaratkan dalam satu kisah, Said sendiri menceritakan:
"Aku bersaksi bahawa sembilan orang adalah ahli syurga. Dan tidaklah aku berdosa jika menyebut yang kesepuluh."

Sahabat bertanya: "Bagaimanakah itu?"

Kata Said:
"Kami bersama Rasulullah SAW di gua Hira pada suatu hari. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

Wahai Hira'! Tiadalah di atasmu ini melainkan mereka dari golongan Nabi, Siddiq dan Syahid (golongan ahli syurga.) "

Sahabat bertanya Said:
"Siapakah yang ada ketika itu?"

"Rasulullah SAW, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah, Zubair, Saad, Abdurrahman." Jelas Said.

Sahabat bertanya lagi:
Dan yang kesepuluh?"

"Aku.." Jawab Said.

Pada zaman Bani Umayyah, berlaku satu kisah yang sangat popular sepanjang zaman. Pada waktu itu, seorang wanita bernama Arwa binti Uwais telah menuduh Said merampas tanahnya. Arwa telah menyebarkan cerita ini sehingga sampai ke pengetahuan gabenor Madinah, Marwan bin al-Hakam. Lalu Marwan menghantar kakitangan untuk menyiasat.

Ketika disoalsiasat, Said berkata:
"Bagaimana mungkin aku merampas tanah itu? Sedangkan aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang berlaku zalim walau ke atas sejengkal tanah, Allah akan kalungkan ditengkuknya daripada tujuh lapis bumi."

Said lalu berdoa:
"Ya Allah! Perempuan itu telah mendakwa aku berlaku zalim. Sekiranya dia berbohong, maka butakanlah matanya, dan campakkanlah dia ke dalam telaga di tanah yang dia tuduh aku itu. Tunjukkanlah kepada orang ramai dengan kebenaran sejelas cahaya, bahawa aku tidak menzaliminya."

Tidak lama selepas itu, tiba-tiba air dari tasik al-Aqiq mengalir hingga ke tanah yang diperselisihkan itu. Tidak pernah ia mengalir seperti itu sebelum ini. Maka terbongkarlah sempadan tanah antara Said dan Arwa. Orang ramai melihat kebenaran bahawa, Said tidak menzalimi Arwa.

Lebih kurang sebulan selepas itu, mata Arwa pula menjadi buta. Dia berjalan teraba-raba hingga terjatuh ke dalam telaganya sendiri.

Umat Islam kagum menyaksikan betapa mustajabnya doa seorang yang dizalimi seperti Said bin Zaid. Sejak hari itu, masyhur satu doa di kalangan penduduk Madinah:
"Ya Allah, Kau butakanlah matanya seperti kau butakan mata Arwa."

Kisah ini memberi pengajaran supaya kita tidak berlaku zalim sesama manusia. Zalim bukan setakat dilakukan oleh pemerintah terhadap rakyat sahaja, tetapi meliputi semua perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam sesama makhluk seperti melempar tohmahan, menipu, mengumpat, merampas, mencuri dan sebagainya. Rasulullah SAW bersabda:
"Takutlah doa orang yang dizalimi, kerana tiada hijab yang menghalang antara doa itu dan Allah."

Bagi pejuang Islam, mereka tidak memadai dengan hadis ini, bahkan perlu menangani kezaliman dengan panduan hadis-hadis yang lain. Antaranya sabda Rasulullah SAW:
"Bantulah saudaramu yang zalim mahupun yang dizalimi."

Sahabat bertanya:
"Bagaimana mahu membantu orang zalim wahai Rasulullah?"

Jawab baginda:
"Halang dia dari berlaku zalim."

Juga dalam hadis lain, yang lebih jelas menyebut tentang peranan seorang pejuang. Sabda Rasulullah SAW:
"Sebaik-baik jihad adalah berkata benar di sisi pemimpin yang zalim."

21 Ramadhan 1438
16 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)