Sab07222017

Last updateJum, 21 Jul 2017 10am

Batas Iman Dan Kufur , Berhati-hati Dengan Fitnah Dunia



Batas Iman dan Kufur | Berhati-hati dengan Fitnah Dunia

Kezaliman yang terbesar adalah syirik kepada Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 13:

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

Disebut oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor dalam ceramah beliau seperti yang dibukukan dalam buku 'Aqidah & Perjuangan.

"Seseorang yang kufur kepada Allah ialah seorang yang mengkhianati dirinya kerana dia telah meletakkan dirinya bukan pada tempatnya yang betul.

Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang benar adalah satu kezaliman.

Umpamanya, seseorang yang meletakkan kasutnya di atas kepalanya. Dia telah menzalimi kasutnya walaupun dia cuba meletakkan kasutnya itu pada satu tempat yang tinggi."

Dalam al-Quran, terdapat lebih daripada sepuluh ayat yang melarang mukmin menjadikan selain daripada mereka (iaitu musuh Allah dan Islam) sebagai wali, bithonah, walijah dan seumpanya. Baik mereka itu Yahudi, Nasrani, bahkan apa-apa sahaja yang menyekutukan Allah sekalipun orang munafik yang zahirnya muslim kerana mereka lebih menyukai kekafiran berbanding keimanan.

Menurut Ibnu Kathir,

Wali 
Pemimpin atau teman yang setia, ikhlas, dan merahsiakan kecintaan serta membuka rahsia orang-orang mukmin kepada mereka.

Bithonah 
Teman kepercayaan yang mengetahui semua rahsia peribadi.
Termasuk juga rahsia kaum mukmin dan perancangan yang dipersiap terhadap musuh-musuh.

Walijah 
Teman yang setia dan teman yang akrab, bahkan mereka secara zahir dan batin selalu bernasihat baik karena Allah dan Rasul-Nya.

Allah mendedahkan sikap mereka secara jelas.
Mereka suka berpura-pura, berani bersumpah palsu, tidak akan berhenti menimbulkan kemudaratan serta menyukai apa sahaja yang menyusahkan orang yang beriman.

Sirah yang dirakamkan pada zaman khalifah Umar, ketika mana Beliau ingin melantik jurutulis yang akan menguruskan berkaitan pembukuan dan surat-menyurat, menunjukkan bahwa ahluz zimmah (kafir zimmi) tidak boleh dilantik untuk mengurus masalah kesetiausahaan yang di dalamnya terkandung rahsia kaum muslim dan semua urusan penting mereka.

Kerana dikhuatiri dia akan menyampaikannya kepada musuh kaum muslim dari kalangan kafir harbi.

Kebanyakan ayat terkandung juga ancaman yang keras dan peringatan yang pasti daripada Allah. Sekiranya perintah-Nya diingkari, jadilah kita orang yang rugi, mendapat kehancuran dan kehinaan di dunia dan akhirat, tersasar daripada jalan yang lurus dan terlepas ikatan diri kita dengan Allah serta terlepaslah daripada pertolongan Allah.

Nauzubillahi min dzalik.

Kita tidak diajar untuk berburuk sangka. Tapi, kita diajar untuk sentiasa berhati-hati dengan kelicikan mereka.

Sekalipun telah nyata kebencian daripada mulut mereka, apa yang tersembunyi di hati mereka itu lebih besar dan dahsyat.

Ini yang kita bimbangkan.
Kita hanya mampu menghukum apa yang zahir.
Jika dia berani menzalimi Allah. Maka, tidak mustahil dia akan menzalimi sesama manusia.

Wallahua'lam.

Aishah Adilah
*Tulisan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media DUPP