Sab08192017

Last updateJum, 18 Ogs 2017 8pm

Kisah Sahabat - Khalid Bin Al-Walid

SIRI SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 35)

KHALID BIN AL-WALID
 Hunusan Pedang Allah 

Beliau daripada Bani Makhzum, sebuah keluarga dari kerabat Quraisy. Seorang yang pintar akalnya dan perkasa badannya. Rupa dan bentuk tubuhnya iras Saidina Umar al-Khattab. Orang sering tertukar antara kedua mereka.

Bapa Khalid bernama al-Walid bin al-Mughirah, orang paling kaya di Mekah pada zamannya. Memiliki bermacam bentuk harta, emas dan perak, perniagaan dan perdagangan, hamba dan khadam mahupun tanah dan ladang.

Dengan kekayaan dimiliki, al-Walid sendirian bergilir dengan seluruh Quraisy yang lain dalam menanggung kos menukar kelambu kaabah, yang ditukar setiap tahun. Setahun bagi seluruh Quraisy berpakat menukarnya, dan setahun khusus untuk al-Walid seorang.

Oleh sebab itu beliau digelar sebagai al-Wahid. Disebut dalam al-Quran.

Biarkanlah Aku sahaja urus orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia sebagai al-Wahid.
Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak,
Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya.
Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya.
[Al-Mudaththir:11-14]

Beliau juga menanggung penuh makan minum jemaah haji. Oleh kerana itu, beliau mendakwa diri sebagai orang paling berhak untuk menjadi Nabi. Disebut juga di dalam al-Quran:

Dan mereka berkata: "Kenala tidak Al-Quran ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang hebat?"
[Az-Zukhruf:31]

Atas faktor inilah, apabila dibangkitkan Nabi akhir zaman bernama Muhammad, anak beliau Khalid bin al-Walid antara yang membenci baginda, atas dasar asobiyah dan kepentingan keluarga. Walaubagaimanapun, tuhan mentakdirkan anak-anak al-Walid iaitu Khalid, Ummarah dan al-Walid semuanya memeluk Islam.

Kisah keislaman Khalid adalah sangat menarik. Ini kerana beliau awalnya adalah panglima perang musyrikin Quraisy. Dengan kelicikannya, beliau berjaya mengalahkan umat Islam dalam perang Uhud. Beliau juga hampir-hampir membunuh Rasulullah SAW dalam perang Khandaq, tetapi dihalang oleh seorang sahabat agung bernama Usaid bin Hudhair.

Dalam peristiwa Sulh Hudaibiah, musyrikin telah menghantar Khalid bersama pasukan perisik untuk pergi ke kem tentera Islam di Hudaibiah dan menyiasat gerak-geri mereka. Ketika Khalid dan pasukannya menghampiri kem Islam, kebetulan waktu itu orang Islam sedang menunaikan solat Zohor. Khalid memikirkan itulah peluang terbaik bagi beliau untuk menyerang.

Tetapi ketenangan orang Islam yang bersolat di depan matanya telah menyebabkan beliau kaku. Beliau mula berfikir tentang Nabi Muhammad dan risalah baginda.

Beliau patah balik ke Mekah dengan hati yang mulai berkecamuk, antara asobiah dan kebenaran. Beliau sedar, selepas setiap perang menghadapi orang Islam, tak ada apa-apa kepuasan dirasa. Kosong. Sedangkan umat Islam sentiasa positif dan optimis.

Dalam keadaan itu, sampai pula surat dari saudaranya al-Walid yang mengajak Khalid kepada Islam. Antara isi suratnya adalah menukilkan sabdaan baginda SAW. Baginda bertanya al-Walid tentang Khalid, dan bersabda:
"Sangat tidak patut orang seperti Khalid tidak ambil tahu tentang Islam. Kalaulah dia jadikan kepakaran perangnya untuk Islam, itu adalah lebih baik bagi dirinya. Dan aku akan dahulukan dia daripada yang lain."

Isi surat tersebut sangat berbekas di hatinya. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk ke Madinah memeluk Islam. Dalam perjalanan beliau berjumpa Uthman bin Abi Talhah dan Amru bin As. Rupa-rupanya pada waktu yang sama Allah gerakan hati kedua mereka untuk menuju ke Madinah juga.

Sampai di pintu Madinah, al-Walid menyambut mereka. Ujar beliau:
"Cepat! Rasulullah sekarang sedang menunggu. Baginda dah diberitahu tentang kedatangan kalian."

Beliau terus mempercepatkan langkah. Tatkala melihat kelibat Khalid, baginda tersenyum lebar dari jauh. Terus tersenyum hingga Khalid sampai di hadapannya.

Khalid memberi salam, dan baginda menjawabnya penuh penghormatan.

Tiada kata lain dari mulut Khalid selepas itu, melainkan ucapan dua kalimah syahadah di depan baginda Rasulullah SAW.

"Alhamdulillah atas hidayahNya. Sungguh aku melihat kamu seorang yang sangat bijak. Aku sangat mengharap Allah tidak meletakkan kamu melainkan dalam kebaikan."

Sejak hari itu, Khalid menjadi orang kepercayaan baginda SAW mengepalai peperangan. Misi pertama beliau adalah memimpin satu dari empat pasukan tentera Islam membuka Kota Mekah. Pada waktu itu, beliau baru memeluk Islam beberapa bulan sahaja.

Tetapi Khalid dihantui perasaan sesal, dengan sejarah lampaunya yang kuat memerangi Islam. Sehingga suatu hari beliau memohon pada Rasulullah supaya berdoa agar Allah mengampun dosanya. Baginda menjawab:
"Sesungguhnya Islam menghapuskan segala dosa lampau."

Jawapan itu masih tidak memuaskan Khalid. Beliau terus meminta supaya baginda berdoa. Akhirnya baginda pun berdoa:
"Ya Allah. Ampunilah Khalid bin al-Walid atas segala yang dilakukan ketika memerangi Islam dahulu."

Itulah doa yang Khalid mahukan. Selepas itu barulah tenang jiwa beliau.

Bintang Khalid terus menyinar sebagai panglima ulung Islam. Dalam perang Mu'tah, baginda memberi jolokan kepada Khalid sebagai Saifullah, bererti pedang Allah.

Selepas baginda wafat, Abu Bakar memerintahkan Khalid untuk memimpin orang Islam berhadapan serangan golongan murtad. Kemudian beliau ditugaskan membuka kota Parsi pula. Satu persatu wilayah Parsi jatuh ke tangan Islam, sebelum tentera Khalid dipanggil ke Yarmouk untuk membantu tentera Islam di sana menghadapi Rom pula.

Ketika Khalid di puncak kegemilangan, Umar al-Khattab yang baru menjawat khilafah selepas Abu Bakar mengambil keputusan tidak popular, dengan memecat Khalid. Umat Islam sangat terkejut, tetapi Khalid tidak sesekali makan hati. Beliau tetap meneruskan jihad menegakkan agama Allah, walaupun sebagai perajurit biasa.

Itu kerana beliau berjuang dengan hati ikhlas mengharap redha tuhan, bukan mengejar takhta dan kemasyhuran. Dia berjuang untuk mati syahid, bukan untuk mengecap hasil kemenangan dunia. Buktinya ketika beliau jatuh sakit dan hampir meninggal dunia, beliau menangis teresak-esak. Orang hairan kenapa seorang yang begitu berani menghadap maut dalam setiap peperangan, boleh menangis seperti budak kecil bila tiba ajal di pembaringan.

Lalu beliau berkata:
"Aku telah berperang lebih daripada 100 kali. Tiada di badanku ini sedikitpun ruang kecuali padanya penuh dengan pukulan pedang, tusukan panah dan tikaman tombak. Tapi hari ini, aku, akhirnya mati di atas katil. Nyawaku bakal keluar melalui hidung, bukan melalui pukulan senjata musuh. Mati ibarat binatang. Mati sebagai pengecut."

Sebagai pejuang, muhasabahlah diri kita kembali. Apakah kita di jalan ini benar-benar memburu redha Ilahi, atau juga punya matlamat peribadi dan kepentingan tersendiri? Apakah kita sentiasa berdoa agar mati dalam berjuang, atau berdoa supaya terus panjang umur untuk mengecap ghanimah?

Niat yang tidak ikhlas akan menghalang pertolongan dari tuhan. Di medan perang tempat menempah maut itu pun ada yang sanggaup berjuang untuk kemasyhuran. Di medan politik yang berorientasikan populariti, sokongan serta menjanjikan takhta dan kesenangan ini, lagilah besar ancamannya terhadap keikhlasan seorang pejuang.

Justeru berwaspadalah..

(Alang Ibn Shukrimun)