Jum06232017

Last updateJum, 23 Jun 2017 11pm

Back Utama Sejarah PAS Pahang

Sejarah PAS Negeri Pahang

Era kepimpinan PAS Negeri Pahang bermula apabila Pejabat Agung PAS Pusat melantik Allahyarham Mohamed Yassin b. Salleh memangku jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang pada tahun 1958. Beliau kemudian dilantik ke jawatan penuh sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang pada kongres Agung PAS Pusat tahun berikutnya.

Allahyarham Mohamed Yassin b. Salleh dengan dibantu oleh tokoh-tokoh seperti Dato Abu Samah b. Haji Ali, Ustaz Hasanuddin b. Muhamad serta rakan-rakan kepimpinan beliau yang berpusat di Temerloh pada ketika itu telah menyusun kerja bagi mengembangkan pengaruh PAS di Negeri Pahang.

Tugas utama yang menjadi amanah penting kepada Mohamed Yassin b. Salleh ialah menambah keahlian, ranting-ranting serta cawangan-cawangan PAS di Temerloh khususnya dan di negeri Pahang amnya.

Bagi melaksanakan tugas itu, beberapa bidang tugas atau biro-biro parti telah diwujudkan terutama yang berkait dengan politik. Walaupun tugas yang diamanahkan kepada beliau dan rakan amat berat memandangkan dasar yang dibawa oleh PAS di negeri Pahang agak terasing dari perhatian masyarakat ketika itu, ditambah pula oleh kedudukan bumi Pahang yang luas juga faktor perhubungan yang amat sukar, namun ianya berjaya ditempuhi. Perjuangan Islam yang didokongnya tidak ditinggalkan hanya kerana faktor halangan sebagaimana yang disebutkan.

Komitmen yang kuat oleh Mohamed Yassin b. Salleh dan rakan-rakannya dalam memajukan perjuangan PAS berjaya dibuktikan pada tahun berikut selepas penubuhan apabila PAS Negeri Pahang berjaya meletakkan calonnya dalam tiga kerusi yang dipertandingkan pada pilihanraya umum kebangsaan 27 Julai 1955.

Jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh Mohamed Yassin b. Salleh serta rakan-rakan adalah amat bernilai kerana kejayaannya meletakkan perjungan PAS pada tapak awal perkembangan politik tanahair dan juga menjadi perintis kepada kesinambungan perjuangan selepas beliau.

Kepimpinan Mohamed Yassin b. Salleh dalam memimpin PAS Negeri Pahang berakhir pada tahun 1963, apabila beliau kembali ke rahmatullah setelah memimpin PAS Negeri Pahang sekitar 5 tahun dan PAS Cawangan Temerloh selama 14 tahun. Segala usaha yang beliau curahkan moga-moga mendapat keredhaan Allah s.w.t..

Pemergian Allahyarham Mohamed Yasssin b. Salleh ke rahmatullah, menjadi satu kejutan kepada PAS Negeri Pahang memandangkan PAS baharu sahaja bertapak dan memulakan langkah awalnya. Kekosongan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang dipangku kepada tokoh besar Negeri Pahang iaitu Allahyarham YM. Tengku Abdul Hamid Sutan Abdullah atas restu PAS Pusat dan kemudiannya diberikan jawatan penuh sebagai Pesuruhjaya pada kongres PAS Pusat tahun berikutnya.

Penyertaan tokoh besar istana Pahang ke dalam perjungan politik Islam sebenarnya sangat-sangat memeranjatkan sekalian ahli politik samada di Negeri Pahang mahupun di Tanah Melayu ketika itu. Sebagai seorang tokoh istana, kehadiran YM. Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah ke dalam politik tidaklah begitu memeranjatkan tetapi yang lebih memeranjatkan ialah kehadirannya menerajui parti politik pembangkang ( PAS ) yang tidaklah mempunyai pengaruh sehebat Umno dan Kerajaan Perikatan

Kehadiran YM.Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah selaku pemimpin begitu menggembirakan sekalian ahli PAS. Penyertaan YM.Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah sebenarnya menaikkan moral sekalian ahli dan kepimpinan PAS terutama di negeri Pahang.

YM. Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah dengan dibantu oleh pimpinan PAS Pahang yang lain saperti Allahyarham Dato Abu Samah Hj Ali selaku Timbalan Pesuruhjaya, Mohd Ariffin Abu Bakar selaku Setiausaha Perhubungan, Nik Ahmad Nik Man selaku Bendahari Perhubungan, Ustaz Mohd Ariff Abas selaku Ketua Dewan Ulama dan barisan kepimpinan yang lain telah berjaya menyusun semula pembentukan jawatankuasa kerja peringkat Perhubungan Negeri pada 9.11.1963, sebagai persiapan lebih tersusun bagi menghadapi pilihanraya tahun berikutnya.

YM. Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang sekitar 2 tahun yang berakhir pada tahun 1965, beliau terpaksa melepaskan jawatannya atas nasihat kekanda Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah bagi menjaga nama baik istana kerana kehadirannya dalam politik terutama pembangkang ( PAS ) tidak disenangi oleh parti pemerintah ketika itu.

Pesuruhjaya PAS Pahang

1. ALLAHYARHAM MOHAMED YASSIN BIN SALLEH ( 1958 – 1963 )

Sentuhan politik beliau terlalu amat bernilai. Pengasas politik PAS Negeri Pahang ini sebenarnya bertanggungjawab membentuk pemikiran rakyat Pahang untuk tunduk patuh kepada sistem politik Islam yang diperjuangkan PAS. Pemergian beliau ke rahmatullah pada tahun 1963 mengakhiri tanggungjawab perjuangan. Ia harus menjadi sejarah penting dan mesti menjadi kayu ukuran perjuangan kepada generasi terkemudian. Semoga Allah s.w.t. mencucuri rahmat ke atas rohnya.

2. ALLAHYARHAM YM. TENGKU ABDUL HAMID SULTAN ABDULLAH ( 1963 – 1965 )

Allahyarham merupakan satu-satunya tokoh istana yang telah menempatkan dirinya untuk berjuang secara langsung bagi menegakkan daulah Islam melalui perjuangan politik PAS. Mungkinkah ada lagi tokoh besar seperti beliau untuk memimpin perjuangan Islam ? Apa yang pasti beliau telah berjaya menempatkan ramai kaum kerabat Pahang ke dalam politik PAS dan kesannya berterusan hingga ke hari ini.

3) ALLAHYARHAM USTAZ ISHAK ABDULLAH ( 1964-1965)

Allahyarham merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang yang pertama dilantik dari kalangan tokoh berpendidikan agama. Perwatakannya yang sederhana membuatkan beliau sentiasa disenangi oleh kawan dan lawan. Keperibadiannya patut dijadikan contoh kalangan pejuang Islam di negeri ini . Allahyarham telah mengorbankan kehidupan dunianya bagi kepentingan perjuangan. Lulusan BA Syariah Islam Universiti Jakarta Indonesia ini, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam 13 Mei 1993, selepas pulang dari memberikan kuliah terakhirnya di Darul Islah Kg Paya Kecik , Temerloh.

4) ALLAHYARHAM DATO ABU SAMAH HJ. ALI ( 1965-1969 )

Allahyarham Dato Abu Samah Hj Ali, adalah tokoh penting dalam memperkukuh dan memperkembangkan pengaruh perjuangan PAS di Negeri Pahang peringkat awalan. Kehadirannya dalam perjuangan Islam sebenarnya memberikan imej penting terhadap penerimaan golongan atasan terhadap PAS. Ayah kepada Menteri popular Datuk Hamzah Abu Samah, ini telah mengorban banyak kepentingannya dalam menjayakan perjuangan Pas. Rumahnya yang terletak di atas bukit di persimpangan jalan Teriang berhadapan jambatan Temerloh itu pernah menjadi pusat perjumpaan penting parti. Semoga amalnya mendapat keberkatan Allah.

5) USTAZ JAMAHIR IDRIS (1969 – 1977)

Ust. Jamahir Idris merupakan salah seorang tokoh pengasas PAS Negeri Pahang, beliau yang dilahirkan di Indonesia dan mendapat pendidikan di Institiut Pengajian Islam, Bandung, pernah menjadi Setiausaha Hizbul Muslimin. Sejarah penglibatan tokoh ini kedalam perjuangan Islam di negara ini bermula apabila beliau berhijrah ke Malaya bersama bapanya pada tahun 1958. Ust. Jamahir Idris, telah melibatkan dirinya dalam perjuangan Islam sejak di Indonesia lagi di bawah Jamaah Masyumi. Pejuang Islam yang gigih ini adalah juga pengasas kepada kewujudan Sekolah Menengah ( A ) rakyat Kg Selamat, Tanjung Api, Kuantan, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Al Ihsan.

6) ENCIK MOHD RUSDI ARIFF ( 1977-1982 )

Encik Mohd Rusdi Ariff, merupakan satu-satunya pimpinan PAS negeri Pahang yang bergelar Yang Berhormat ( YB ), beliau telah memenangi pilihanraya umum 1974 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Bukit Ibam. Beliau dilahirkan di kalangan keluarga yang terlibat secara aktif dalam parti. Encik Mohd Rusdi Ariff mendapat pendidikan di Universiti Malaya, pernah menjadi Penolong Pegawai Tadbir Felda sebelum meletakkan jawatannyauntuk berkecimpung dalam PAS secara lebih efektif. Beliau masih meneruskan khidmatnya hingga ke hari ini.

7) TUAN HAJI SYED IBRAHIM (1982-1984)

8) ENCIK MOHD RUSDI ARIFF ( 1984-1987 )

9) TUAN GURU HJ ALWI ABDUL HAMID ( 1987-1993 )

Tuan Guru Hj Alwi Abdul Hamid,dilahirkan pada tahun 1939 di Kg Paya Pasir Chenor. Beliau mendapat pendidik di Universiti Al Azhar, Mesir. Seorang tokoh yang sentiasa menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam sehingga kini. Di dalam parti , selain daripada pernah menjadi Persuruhjaya PAS Pahang, beliau juga adalah Ahli Jawatan Kuasa Dewan Ulama`PAS Pusat sehingga kini.

10) TUAN GURU HJ MOHD BAQI OSMAN (1993 – 1999)

Tuan Guru Hj Mohd Baqi Osman, merupakan tokoh yang sentiasa menyumbangkan ilmu Islam yang dimilikinya kepada masyarakat melalui kuliah-kuliahnya yang cukup terkenal dan melalui ceramah-ceramah yang sentiasa diadakan dari masa ke semasa. Komitmen dalam perjuangan memperlihatkan perkembangan PAS yang sangat baik, selain daripada memikul amanah sebagai Pesuruhjaya, beliau juga adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang dan juga Ahli Jawatan Kuasa Dewan Ulamak PAS Pusat.

11) USTAZ IDRIS BIN OMAR (1999 - 2004 )

12) DATO TUAN IBRAHIM TUAN MAN (2004  hingga kini )

Bekas Pensyarah ITM Jengka, bekas ahli panel Foram Perdana Ehwal Islam TV1.