Kha05252017

Last updateKha, 25 Mei 2017 4am

Petikan Kuliah Jumaat : Jumaat Dan Sabtu Hari Istimewa dalam Islam

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
JUMAAT DAN SABTU HARI ISTIMEWA DALAM ISLAM

Firman Allah SWT:

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[al-Baqarah:65&66]

Ayat yang pendek sahaja, tetapi huraian dan pengajarannya begitu panjang. Ia mengisahkan tentang penyelewengan yang dilakukan oleh Bani Israel. Allah menjadikan kepada mereka hari Sabtu sebagai hari kebesaran. Mereka tidak dibenarkan bekerja pada hari tersebut. Mereka sendiri yang meminta satu hari untuk bercuti daripada apa-apa pekerjaan selain beribadat. Akan tetapi setelah Allah menetapkan, mereka telah melanggar ketetapan tuhan itu.

Syariat mereka lebih keras dari kita. Langsung tidak boleh melakukan apa-apa kerja pada hari tersebut. Kita walaupun diwajibkan solat pada hari Jumaat, tetapi tidaklah haram untuk bekerja langsung. Cuma diwajibkan berhenti berjual beli semasa waktu solat Jumaat sahaja.

Jumaat dan Sabtu merupakan dua hari yang dibesarkan oleh Allah SWT. Hanya dua hari ini sahaja disebutkan oleh Allah di dalam al-Quranul Karim. Semua hari dinamakan mengikut bilangan. Ahad daripada Wahid bermakna satu. Isnin daripada Ithain (dua). Selasa Thulatha (tiga). Rabu Arbaah (empat). Khamis pula khamsah (lima). Tetapi Jumaat dan Sabtu tidak dinamakan dengan bilangan sittah (enam) dan sab`ah (tujuh). Menunjukkan keistimewaan dua hari ini.

Disebut dalam ayat yang lain, Allah menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari. Firman Allah SWT:


Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy, Ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya.
[al-Furqan:59]

Dinyatakan oleh para mufassirin, Jumaat merupakan hari kemuncak diciptakan segala kejadian. Langit, bumi dan seluruh isinya disempurnakan kejadiannya pada hari Jumaat. Walaupun Allah SWT mampu menciptakan semua sekali serta merta dengan lafaz ‘kun’ sahaja, tetapi sengaja Allah menjadikannya selama enam hari, sebagai menunjukkan kebesaranNya yang memiliki pentadbiran, pengurusan dan tertib untuk diambil iktibar oleh manusia.

Jumaat diambil dari perkataan jamak bermakna berkumpul. Orang lelaki Islam diwajibkan berkumpul pada hari ini menunaikan solat Jumaat. Sabtu pula bermakna kosong. Sebagaimana syariat Bani Israel dahulu, hari ini dikosongkan tanpa apa-apa pekerjaan. Ada pula Yahudi mereka cerita kononnya Sabtu merupakan hari tuhan rehat kerana keletihan setelah mencipta langit dan bumi. Inilah kesesatan orang Yahudi, menyamakan sifat tuhan dengan makhluk.

Apabila Allah menjadikan Sabtu kepada mereka sebagai hari cuti, Allah menguji mereka dengan mendatangkan ikan-ikan yang besar dengan banyaknya di pesisir laut pada hari Sabtu. Tetapi pada hari yang lain, ikan-ikan itu berada jauh dari mereka. Firman Allah SWT:

Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.
[al-A`raf:163]

Bukan setakat banyak, malah timbul hingga menampakkan sirip-siripnya. Mereka mula teruji apabila melihat keadaan itu. Lalu mereka berhelah dengan menggali kolam takungan supaya ikan masuk, kemudian mereka menahannya daripada keluar pada hari Sabtu. Mereka beralasan tidak menangkap ikan pada hari itu, cuma tahan sahaja. Keesokan hari baru mereka angkat. Mereka cuba untuk menipu tuhan.

Allah SWT menurunkan bala kepada mereka sebagai hukuman. Keesokan hari mereka bangun dari tidur, mereka dapati badan mereka telah bertukar menjadi seperti rupa kera. Mereka menyesal dan menjadi amat sedih, sehingga tidak makan dan minum lalu kesemuanya mati. Peristiwa ini merupakan kisah mutawattir, diceritakan turun temurun dan diketahui oleh semua Bani Israel. Kerana itu Nabi SAW diperintah oleh Allah untuk bertanyakan perkara ini kepada Bani Israel di zamannya.

Allah menjadikan hukuman ini sebagai suatu peringatan dan juga pencegahan  supaya mereka yang mahu melanggar perintah Allah menjadi takut untuk melakukannya. Allah juga menyebutkan perkataan sama dalam syariat hukuman hudud yang keras, tetapi bersifat mencegah supaya bakal-bakal penjenayah merasa gerun dan takut untuk melakukannya. Inilah hikmah daripada hukuman tuhan.

Masjid Rusila
18 Jumadal Akhirah 1438
17 Mac 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

 

*Tulisan ini dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari tulisan asal penulis. Tulisan ini juga sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media DUPP.