Rab07262017

Last updateRab, 26 Jul 2017 4pm

Kuliah Jumaat Ayah Chik: Yang Penting Ialah Perintah, Bukan Hikmah

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
YANG PENTING IALAH PERINTAH, BUKAN HIKMAH 

Firman Allah SWT:

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".

Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".

Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya"
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".

Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
[Al-Baqarah:67-71]

Ayat ini menerangkan tentang perintah tuhan terhadap Bani Israel. Diperintahkan kepada mereka untuk menyembelih seekor lembu betina. Apa yang menarik, Allah menyebutkan tentang perintahNya dahulu, sebelum menceritakan sebab dan kisah perintah ini diturunkan. Selepas menyatakan perintah, barulah disebut tentang kisah disebaliknya. Firman Allah SWT:


Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
[Al-Baqarah:72-73]

Perkara ini menunjukkan, apa yang penting sebagai orang beriman bukanlah hikmah, tujuan atau cerita di sebaliknya. Tetapi yang penting adalah perintah tuhan. Kita perlu patuh dan laksanakan apa jua perintah Allah, walaupun tanpa kita mengetahui sebab dan hikmah di sebaliknya. Tidak mesti kita perlu tahu sebab dahulu, baru nak buat apa perintah tuhan. Allah mengajar supaya pentingkan perintahNya melebihi segala yang lain.

Ini tidak. Ada sebahagian orang kita mesti nak tahu hikmah dulu baru nak ikut. Mesti tahu tujuan dulu baru nak patuh. Mesti tahu dapat berapa pahala baru nak amal. Ini adalah perangai orang yang sangat lemah imannya.

Yang penting ialah beriman dengan setiap perintah tuhan walaupun tak tahu apa, walaupun tak faham apa. Sebagaimana sikap Abu Bakar as-Siddiq, yang digelar sebagai as-Siddiq dengan makna beriman, percaya dan membenarkan semua dari Rasulullah SAW. Ketika baginda SAW menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj, naik ke langit tertinggi yang jaraknya memakan masa trilion trilion trilion tahun perjalanan cahaya, bukan perjalanan suara dalam hanya satu malam. Perkara ini memang tidak dapat diterima akal. Tetapi Abu Bakar terus mempercayainya. Inilah maqam as-Siddiqin.

Masjid Rusila
25 Jumadal Akhira 1438
24 Mac 2017

_(Alang Ibn Shukrimun)_

 

*Tulisan ini dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari tulisan asal. Tulisan ini juga sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media DUPP.