Isn08212017

Last updateSel, 22 Ogs 2017 9am

Persepsi Jahiliyyah

PERSEPSI JAHILIYYAH

Allah telah menceritakan sikap segelintir munafiqin yang mudah berputus asa dengan masa depan Islam ketika kekalahan perang Uhud.

Mereka bermudah-mudah menanam persepsi bahawa perjuangan Islam mustahil untuk menang. Persepsi jahat itu diistilahkan oleh al-Quran sebagai jahiliyyah.

"Mereka berpersepsi tidak benar terhadap Allah dengan persepsi jahiliyyah" Ali Imran 154.

Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi telah menghuraikan unsur-unsur sikap persepsi jahiliyyah yang ada pada jiwa munafiqin, seperti berikut:

 Individualistik.

Pemula kepada minda berpersepsi jahiliyyah adalah sikap pentingkan diri sendiri. Munafiqin menganggap Islam dan umatnya tidak penting. Ukuran selamat selalunya berdasarkan pulangan material yang diidamkan. Survival Islam tidak penting bagi mereka.

"Dan segolongan lagi (munafiqin) yang telah cemas (hanya mementingkan) diri mereka sendiri" - Ali Imran 154

 Syak Terhadap Pedoman Nabi.

Golongan munafiqin mengajukan protes terhadap Nabi dengan kata mereka;

"Apakah kami tiada hak untuk campur tangan?"

Nabi dan para sahabat yang beriman menjawab dengan penuh yakin;

"Sesungguhnya seluruh urusan ditentukan oleh Allah!" - Ali Imran 154

Berlakon Islam, padahal benci Islam.

Menonjolkan keIslaman mereka, padahal jiwa mereka prejudis terhadap Islam. Beridentiti Islam tetapi membawa lidah propaganda musuh yang sentiasa menyalahkan Islam dan cuba menghakis motivasi umat terhadap Islam.

"Mereka menyembunyikan hasrat hati mereka apa yang tidak mereka terangkan kepadamu" - Ali Imran 154

Menganggap Islam pembawa sial.

Munafiqin yang berpersepsi jahiliyyah akan menjadikan Islam sebagai kononnya punca segala nasib malang yang menimpa mereka. Mereka menuduh disebabkan Islamlah mereka susah, kalah dan mati. Mereka kufur terhadap takdir Allah.

"Sekiranya kita boleh campur tangan (dalam urusan prinsip Islam), sudah pasti kita tidak dibunuh (dikalahkan) di sini) - Ali Imran 154

Mereka mencipta alasan tersebut demi meloloskan diri dari terikat dengan Islam.

Tertipu Dek Syaitan.

Allah memberi peringatan bahawa persepsi jahiliyyah merupakan antara modul syaitan untuk menggelincirkan seseorang ke lembah nifaq. Mula-mula syak, akhirnya berdendam dengan Islam kerana menganggap ia merupakan ajaran yang amat menyusahkan kehidupan.

"Sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh syaitan disebabkan sebahagian kesalahan yang telah mereka lakukan" - Ali Imran 155

Optimis Dengan Islam.

Hanya golongan beriman meyakini bahawa masa depan Islam pasti menang. Sebaliknya golongan munafiqin menganggap kononnya Islam sebagai penyebab mereka hina dan sengsara.

Semoga Allah memelihara kita dari penyakit persepsi jahiliyyah.

Abdul Mu'izz Muhammad
1 April 2017

 

*Tulisan ini dimuatnaik tanpa mengubah apa-apa dari tulisan asal penulis. Tulisan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media DUPP).