Rab08232017

Last updateSel, 22 Ogs 2017 6pm

RM90 Juta , Ustaz Azizan Dan Prinsip PAS


RM90 JUTA, USTAZ AZIZAN DAN PRINSIP PAS

Oleh: Zaharudin Muhammad.


Dua hari lepas sewaktu muktamar Dewan Ulama PAS Pusat, saya sempat bersembang dengan Ustaz Fauzi tentang satu kisah Arwah Tan sri Ustaz Azizan sewaktu beliau menjadi MB Kedah. Pernah isterinya pergi tukar tayar kereta di satu kedai tayar. Sewaktu isteri almarhum ingin membuat pembayaran tiba-tiba taukeh kedai cakap dah ada orang bayar. Sewaktu pulang, isteri beliau bercerita ada orang jamin tayar kereta dan tiba-tiba almarhum meminta isterinya pergi semula ke kedai tersebut untuk membayar wang atau tayar itu perlu dicabut dan dipulangkan semula jika taukeh itu enggan menerima wang tersebut.

enapa ini berlaku?

Jika kita halusi hukum syariat, di sana terdapat dua jenis rasuah; rasuah Qodhooan dan rasuan Diinan . Rasuah Qodhooan ialah rasuah yang dibentuk oleh kewujudan 2 elemen; beri dan terima. Rasuah Qodhooan ini boleh berlaku apabila pihak lawan memberikan WFU (wang atau faedah atau untung) dengan mensyaratkan balasan yang bukan hak dan miliknya. Seperti seseorang memberi WFU kepada MB dengan balasan mendapat projek tertentu. Atau seseorang pemimpin PAS menerima WFU daripada pihak UMNO atau DAP atau PKR dengan syarat pemimpin tersebut mestilah berusaha menjalin rapatkan hubungan dengan mereka. Jika ini berlaku, maka ini termasuk dalam kategori rasuah Qodhooan justeru mempunyai elemen beri dan terima.

Rasuah jenis ini bukan sahaja hukumnya berdosa, tetapi ia termasuk dalam kategori kesalahan undang-undang dimana jika sabit boleh dikenakan hukuman takzir. Dengan kata lain, jika sabit kesalahan maka ia tertakluk kepada dua kesan; dosa dan hukuman takzir.

Jenis yang kedua pula ialah rasuah Diinan iaitu rasuah yang berbentuk pemberian satu hala. Di dalam kitab-kitab fekah, hukum ini kita akan temui dalam bab hukum menerima dan menolak hadiah dan pemberian. Isu ini juga dibahaaskan panjang lebar dalam kitab-kitab Qawaaidh Fiqh di bawah tajuk Adat Kebiasaan Menjadi Hukum (?????? ?????). Kebiasannya ulama-ulama terdahulu membawa contoh seorang Qaadhi tidak boleh menerima hadiah daripada seseorang yang bukan adat kebiasaan sebelumnya memberi hadiah kepadanya.

Sebagai contoh, si Ali sebelum ini tidak pernah memberi hadiah kepada si Ahmad. Selepas si Ahmad dilantik sebagai Qadhi, atau MB, atau Exco, tiba-tiba si Ali datang membawa hadiah. Sekalipun si Ali tidak meminta apa-apa balasan seperti memohon projek, memasuki tender dan sebagainya, maka si Ahmad tidak boleh menerima hadiah tersebut justeru ia dikategorikan sebagai rasuah Diinan.

Illah (sebab syariat) kepada larangan ini kebiasaannya disebut oleh ulama ialah Al-Minnah atau dalam bahasa kita disebut terdapat niat disebalik pemberian. Petunjuk kepada sama ada kita boleh menerima atau tidak ialah jawapan yang perlu kita soal kepada diri kita sendiri: “jika kita berada dirumah ibu bapa dan tidak memegang jawatan tersebut, adakah hadiah itu diberikan kepada kita?” Jika jawapannya tidak, maka kita tidak harus mengambilnya.

Nabi SAW bertanya kepada seorang sahabat ditugaskan mengutip cukai tentang hadiah yang diterimanya sewaktu bertugas:”adakah jika kamu berada dirumah bapa kamu (tidak bertugas) maka ia akan memberikan hadiah ini kepada kamu?” Maka jawab sahabat tadi: “tidak”. Maka nabi SAW melarangnya daripada mengambil hadiah tersebut dan memintanya memasukkannya ke dalam baitulmal.

Kesan kepada rasuah Diinan ini, ia tidak boleh sabit dengan hukuman dunia atau hukuman undang-undang takzir, tetapi perbuatan ini berdosa dan dikategorikan salah dan tidak bermoral dari segi agama. Rasuah Diinan ini saya dapati diamalkan di dalam korporat-korporat besar antarabangsa yang biasanya disebut sebagai nilai integriti. Pernah seorang sahabat partner bisnes saya membida projek takaful di Singapura. Projek manager syarikat tersebut seorang yang ramah waktu berurusan di pejabatnya. Sewaktu habis urusan, di tempat parking, kawan saya terserempak dengan beliau dan mempelawa untuk belanja makan di restoran. Bukan sahaja beliau tidak menerima pelawaan tersebut, bahkan beliau buat-buat tidak kenal. Keesokan harinya beliau menerangkan bahawa salah dari segi etika integriti syarikat beliau untuk menerima pelawaan belanja makan oleh customer atau supplier diluar pejabat.

Jika pemungut cukai di dalam Islam begitu sekali sifatnya, maka seseorang yang memegang jawatan penting dalam politik lebih utama untuk menjaga integriti ini. Bukan sahaja kerana isu moral, tetapi ia juga melibatkan isu dosa dan pahala yang menjadi perkiraan utama kepada PAS, sebagai sebuah gerakan Islam. Prinsip penerimaan hadiah ini bukan sahaja syariat nabi Muhammad SAW sahaja, tetapi ia adalah prinsip terdahulu sebagaimana Al-Quran menceritakan nabi Sulaiman menjawab kepada wakil Saba’: “bahkan kamu adalah golongan yang sangat suka menerima hadiah”.

Al-Minnah atau rasa terhutang budi menjadi perkiraan dan neraca timbangan hati seseorang pemimpin sama ada wajar atau tidak sesuatu hadiah diterima sehinggakan Saidina Umar meminta isterinya menghitung semula hadiah yang diberikan oleh isteri Caesar Rom sebagai balasan kepada hadiah yang dihantar sebelumnya oleh isteri Saidina Umar. Begitu halus dan berhati-hati sekali contoh Khulafa’ Raasyidun di dalam mengaplikasikan hukum ini di dalam kehidupan mereka.

Oleh itu, hukum seseorang pemimpin menerima hadiah tidak sama dengan hukum orang awam menerima hadiah. Orang awam boleh mengambil sikap “beri gula kacau beri kain pakai” selagi mana ianya tidak memberikan kesan kepada hatinya atau mengubah undinya. Seseorang pemimpin mempunyai hukum berbeza dengan hukum orang awam sebagaimana Saidina Umar pernah melarang Gabenornya berkahwin dengan ahli kitab dibimbangi ianya bias dalam banyak keputusannya.

Atas asas ini saya sendiri telah menolak pembelian meja makan malam sempena kutipan dana PRU PAS Kawasan Subang daripada Persatuan Peniaga Islam Subang. Apabila saya bertanya kepada diri sendiri, jika PAS Kawasan tidak membantu mereka mendapatkan gerai dan lesen perniagaan, adakah mereka akan membeli meja tersebut? Pusing kiri dan pusing kanan, hati saya tetap menjawab tidak. Maka akhirnya saya sebagai YDP menolak sumbangan tersebut sekalipun PAS kawasan masih mempunyai hutang lapuk yang perlu diselesaikan.

Atas asas ini juga, saya meyakini almarhum Tan sri ustaz Azizan meminta isterinya membayar wang atau pulangkan semula tayar tersebut justeru jika ditanya: “kalau bukan isteri MB, adakah mereka akan berikan tayar itu?” Jika jawapannya tidak, maka penerimaan itu adalah rasuah Diinan dan hukumnya berdosa sekalipun SPRM tidak boleh membuat tangkapan atas pemberian tayar ini.

Inilah prinsip kita terhadap penerimaan dana yang tidak difahami oleh Rafizi dan mereka yang mengfitnah PAS menerima dana RM90 juta daripada UMNO.

Sekian.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1532529910110772&id=312456128784829