Sab08192017

Last updateJum, 18 Ogs 2017 8pm

Back Utama Tafsir Al-Quran Golongan Musyrikin tidak percaya kiamat : Surah al-An'am ayat 29 hingga 30

Golongan Musyrikin tidak percaya kiamat : Surah al-An'am ayat 29 hingga 30

Firman Allah bermaksud, "dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula (sesudah kita mati)" (Surah al-Anam:29)

Ayat ini menceritakan tentang bagaimana dakwaan Musyrikin Makkah yang menyembah berhala, terhadap kehidupan mereka di dunia ini sebagaimana Allah memulakan surah ini menceritakan perihal mereka yang tidak percayakan hari akhirat atau kehidupan kekal abadi pada hari tersebut.


Mereka berkata,"tiadalah kehidupan melain di dunia ini sahaja, kami tidak akan dibangkitkan selepas mati. Tidak ada apa lagi riwayat hidup selepas itu." Ini berlaku sekiranya Allah kembalikan semula mereka ke dunia setelah berdepan dengan azab neraka sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Zaid.

Katanya ketika menafsirkan firman Allah yang bermaksud,"dan kalaulah mereka dikembalikan semula ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang melakukannya." (surah al-An'am:28)

Kata Ibn Zaid, mereka itu akan berkata ketika itu, "sesungguhnya tiadalah kehidupan melainkan di dunia ini sahaja, kami tidak akan dibangkitkan semula sesudah mati." (Surah al-An'am:29)

Ini menunjukkan betapa mereka tetap tidak beriman dengan hari akhirat, tetap kufur dengan Allah SWT walaupun mereka melihat sendiri neraka di hadapan mata mereka.

Mereka mengingkari hari pembalasan kerana tidak mahu merasakan balasan seksa pada hari akhirat atas segala dosa dan perbuatan maksiat yang dilakukan di dunia khususnya mengkufuri Allah dan Rasul-Nya s.a.w.

Ada di kalangan mereka sedar bahawa perbuatan mereka itu mendatangkan mudarat, salah dan tidak bermoral tetapi mereka seronok melakukannya walaupun nafsu mereka tidak pernah puas-puas dengan perbentukan terkutuk itu sehinggalah mereka mati menemui Tuhan mereka dalam keadaan terhina, yakin kufur terhadap Allah SWT.

Mereka berkata, cukuplah mereka hidup di dunia ini sahaja. Mereka merasa bebas untuk buat apa sahaja yang mereka kehendaki mengikut hawa nafsu mereka dengan mengenepikan perintah Allah dan Rasul-Nya s.a.w.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman,"bukankah  (hari kiamat) ini suatu perkara yang benar?" mereka menjawab: "Benar!Demi Tuhan kami!" (Surah al-An'am :30)

Berkata al-Qurtubi, jika engkau melihat mereka (hai Muhammad s.a.w) ketika mereka dihadapkan di hadapan Tuhan mereka (Allah) ketika berada di sisi malaikat dan balasan yang akan dikenakan ke atas mereka, malaikat bertanyakan kepada mereka dengan perintah Allah, adalah hari pembalasan dan azab ini benar? Mereka menjawab, "bahkan ia benar demi Tuhan kami."

Mereka bersumpah dengan nama Tuhan. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak lagi berupaya berbohong kepada manusia dan Allah sendiri di dunia dahulu.

Bagaimana ngerinya keadaan mereka ketika itu ketika berdepan dengan azab Allah, sudah pasti sukarlah digambarkan dengan perasaan dan tulisan.

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "oleh itu rasakanlah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur(ingkar)." (Surah al-Anam:30)

Nah, hari ini rasakanlah azab seksa tidak terperi sakitnya atas segala dosa yang kamu lakukan di dunia dahulu. Seksaan ini atas sebab perbuatan kamu sendiri bukan kerana kamu dipaksa dikenakan azab tanpa sebab.

Allah itu Maha Adil ke atas setiap sesuatu. Dia mengenakan azab seksa kepada kamu atas sifat kekuasaan dan keadilan-Nya yang tidak terhingga.

Kamu di dunia dahulu terdiri dari orang-orang keras kepala, berdegil dengan kekufuran kamu sendiri terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Maka hari ini terimalah balasan atas kedegilan kamu kekal dengan kekufuran itu, maka kekallah kamu diazab dalam api neraka yang apinya panas dengan penuh seksaan tidak terhingga buat selama-lamanya. Bayangkanlah wahai manusia betapa azabnya seksaan ini.